SHAH ALAM: Seramai 94 orang bakal menerima darjah dan bintang kebesaran serta pingat-pingat negeri sempena menyambut ulang tahun Hari Keputeraan Ke-79 Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, di Istana Alam Shah, Klang, esok.
Penerima-penerimanya terdiri daripada dua kerabat diraja, 65 penjawat awam, 24 ahli korporat dan profesional, empat ahli sukan serta seorang ahli politik.
Dua orang akan menerima Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang akan membawa gelaran ‘Datuk Seri’ sementara 27 akan menerima anugerah Darjah Kebesaran Dato’ Setia – Sultan Sharafuddin Idris Shah (SSIS), Dato’ Paduka Mahkota Selangor (DPMS) dan Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) dengan masing-masing membawa gelaran Datuk.
65 individu lagi akan menerima pingat-pingat negeri iaitu Setia Mahkota Selangor (SMS), Setia Sultan Sharafuddin Idris Shah (SIS), Ahli Mahkota Selangor (AMS), Ahli Sultan Sharafuddin Idris Shah (AIS), Bintang Kecemerlangan Sukan (BKS) dan Bintang Perkhidmatan Cemerlang (BPC).
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haris Kasim berkata, penerima tersebut adalah yang disenarai pendek daripada sejumlah 2,593 pencalonan yang diterima.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 1,121 pencalonan diterima bagi darjah dan bintang kebesaran sementara 1,472 pula adalah permohonan pingat-pingat negeri.
“Seramai 94 calon disenarai pendek oleh jawatan kuasa khas yang dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Dewan Diraja pada 4 November lalu.
“Senarai pencalonan juga diperkenankan oleh Sultan Selangor selepas baginda berunding dengan Dewan Diraja,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, semua calon yang disenarai pendek melepasi tapisan keselamatan dan jenayah oleh Polis Diraja Malaysia, Jabatan Insolvensi dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pada sambutan hari keputeraan baginda tahun lalu, seramai 97 penerima disenarai pendek daripada 2,762 pencalonan diterima. – UTUSAN