JERANTUT: Kira-kira 6,000 penduduk Mukim Tembeling Tengah, Ulu Tembeling dan tanah rancangan Felda terputus hubungan apabila Jalan Jerantut-Kuala Tahan berdekatan simpang Kampung Paya Garok di sini, yang merupakan jalan utama ke bandar ini ditenggelami air kira-kira satu meter.
Laluan itu ditenggelami banjir sedalam kira-kira paras pinggang dan sepanjang lebih 100 meter bermula pukul 9 pagi semalam menyebabkan beratus-ratus kenderaan dari laluan dua hala Jalan Jerantut-Kuala Tahan terkandas.
Keadaan itu turut menyebabkan pengunjung yang bercuti di Taman Negara dibawa keluar oleh pengusaha pusat inap dan pihak berkuasa.
Seorang penduduk Ulu Tembeling, Mustapha Abdullah, 38, berkata, dia terpaksa menangguhkan perjalanan ke bandar Jerantut untuk membeli barangan keperluan dapur dan pengurusan keluarga berikutan laluan di situ dinaiki air.
“Kejadian air melimpah di laluan Simpang Paya Garok kerap berlaku setiap kali Monsun Timur Laut (MTL) di penghujung tahun di daerah ini apabila air Sungai Pahang meningkat serta paras bahaya. Seingat saya, senario ini lebih 20 tahun lalu, ketika banjir penduduk terkandas di laluan ini.
“Kita berharap projek meninggikan jalan raya di Simpang Paya Garok segera dilakukan oleh kerajaan memandangkan di sini merupakan laluan utama penduduk Felda, Tembeling Tengah dan Ulu Tembeling berurusan ke bandar Jerantut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Wan Ruhaiza Wan Daud, 50, berkata, laluan Paya Garok ditenggelami air dalam tempoh yang lama menyukarkan orang ramai ke bandar Jerantut untuk menjalankan urusan masing-masing termasuk penjawat awam yang bertugas ke kawasan Felda Padang Piol, Felda Sungai Retang dan Ulu Tembeling.
“Senario ini juga menyebabkan gangguan kepada pelancong yang datang bercuti ke Taman Negara sekali gus menjejaskan sektor pelancongan di sini,” katanya.
Dalam pada itu, pesara dari Kuala Lumpur, Ismail Jamaluddin, 62, berkata, hasrat membawa keluarganya bercuti ke Taman Negara dan menziarahi rakan di Felda Padang Piol, tertangguh ekoran situasi berkenaan.
“Walaupun ada papan tanda banjir di persimpangan berdekatan sebuah kilang di luar, saya terus memandu masuk dan mendapati ramai orang termasuk kenderaan berhenti di tepi jalan yang tidak lepas mengharungi air selain melihat kejadian banjir di lokasi tersebut,” katanya.