KANGAR: Peruntukan geran berjumlah RM436.5 juta yang disalurkan kerajaan Persekutuan kepada Perlis dijangka dapat membantu mengurangkan kadar air tak berhasil (NRW) di negeri ini sehingga 35 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.
Ketika ini, kadar NRW di negeri ini adalah sekitar 60 peratus dan merupakan antara tertinggi di negara ini.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, peruntukan menerusi Geran Persekutuan itu adalah bagi program NRW Holistik dan penukaran paip untuk seluruh negeri ini dengan melibatkan beberapa pelaksanaan kerja.
Katanya, kerja-kerja tersebut melibatkan penukaran 383 kilometer (km) paip uzur di seluruh Perlis bernilai RM344 juta, manakala sebanyak RM92.5 juta pula adalah untuk penyelesaian holistik masalah NRW di Perlis.
“Tempoh pelaksanaan projek berkenaan adalah selama lima tahun dari 2025 hingga 2029,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, dianggarkan 50 peratus daripada keseluruhan 700km paip lama dan rosak di negeri ini akan digantikan menerusi peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan Persekutuan sekali gus dapat membantu menyelesaikan masalah bekalan air serta mengurangkan kadar NRW.
Pelaksanaan penggantian paip kritikal dan penyelesaian secara holistik menerusi program NRW Kebangsaan itu bakal menyelesaikan isu bekalan air yang sering dihadapi di negeri ini.
Penukaran paip berkenaan juga bakal memberikan penjimatan air sekitar 100 juta liter sehari (JLH).
Mengulas lanjut, Mohd. Shukri berkata, kerja-kerja bagi mengurangkan kadar NRW itu juga melibatkan penukaran kira-kira 50 peratus paip asbestos simen dan paip uzur lain.
Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, Syarikat Air Perlis (SAP) akan menjadi penyelaras projek ini dan menyenaraikan rangkaian paip uzur kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) pada akhir tahun lalu.
Katanya, senarai itu akan dimuktamadkan melalui beberapa siri pengurusan nilai yang akan dikendalikan oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Jabatan Bekalan Air (JBA) Petra.