357,898 murid capai tahap sederhana, fasih digital - Utusan Malaysia

357,898 murid capai tahap sederhana, fasih digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 357,898 murid tahun enam, tingkatan 3 dan tingkatan 5 mencapai tahap sederhana dan fasih digital sehingga Oktober lalu berdasarkan Skor Kompetensi Digital (DCS).

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, pengesanan Tahap Kompetensi Digital Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) setakat 30 November turut mendapati 76.10 peratus daripada 399,509 warga pendidik yang dinilai berada pada tahap Pertengahan dan Lanjutan.

“Bagi merapatkan lagi jurang digital, Kementerian Pendidikan (KPM) sudah mewujudkan pasukan guru Jauhari Digital sebagai pakar dalam pengintegrasian teknologi.

“Bukan itu sahaja, bagi Guru Peneraju Generasi Digital (GPGD), mereka juga diberi latihan oleh rakan strategik untuk meningkatkan kompetensi digital.

“Kita turut melaksanakan pengintegrasian teknologi digital bersama-sama rakan strategik dan juga melalui penyediaan pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa),” katanya dalam Dewan Negara, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Amir Md. Ghazali mengenai usaha pemerkasaan sektor pendidikan untuk memastikan generasi masa hadapan mempunyai kemahiran yang relevan dalam menghadapi era digital dan Revolusi Industri 4.0.

Dalam pada itu, Kah Woh berkata, KPM turut berusaha untuk melengkapkan institusi pendidikan dengan peralatan teknologi komunikasi maklumat (ICT).

Menurut beliau, ia termasuk mengagihkan sebanyak 244,158 peranti di 9,093 buah sekolah dari 2022 hingga 2024.

Katanya, peluasan agihan peranti itu bertujuan mencapai matlamat satu peranti untuk setiap murid di sekolah menengah dan nisbah 1:10 di sekolah rendah.

“Pada masa sama, KPM turut meletakkan semua prasekolah di bawah penyelarasan KPM.

“Ini untuk menangani isu keciciran di peringkat awal serta memberi peluang kepada semua anak-anak mendapat pendidikan terbaik dan berkualiti serta percuma,” katanya.

Tambah beliau, KPM juga memperkenalkan Program Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) iaitu sekolah menyediakan peluang pendidikan pada peringkat rendah dan menengah rendah di bawah pentadbiran yang sama daripada Tahun 1 sehingga Tingkatan 3.

Kata beliau, sekolah K9 juga diwujudkan untuk menangani isu keciciran di kawasan pedalaman terutama dalam kalangan murid Orang Asli dan Peribumi.

“Setakat kini kita mempunyai 28 buah sekolah K9,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya