SEMPORNA: Kira-kira 30 rumah serta sebuah masjid mengalami kerosakan dan sebahagiannya roboh akibat angin kencang yang berlaku di dua perkampungan atas air di Jalan Simunul, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.21 pagi, 20 rumah di Kampung Selamat dan 10 rumah di Kampung Seri Aman terjejas akibat angin kencang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Madzlan Sarman berkata, sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan, sepasukan lima anggota dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak pada jarak dua kilometer dari BBP.
Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati terdapat 30 rumah dan sebuah masjid mengalami kerosakan serta roboh akibat kejadian angin kencang di Kampung Selamat dan Kampung Seri Aman.
Turut mengalami kerosakan 20 buah kenderaan yang dihempap bumbung yang diterbangkan angin kencang.
“Pemeriksaan awal juga mendapati berlaku litar pintas akibat wayar terputus namun, tiada kebakaran berlaku dan pemantauan akan dilakukan dari semasa ke semasa bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya dalam kenyataan.