KLANG: Kira-kira 250 pekerja warga asing sebuah kilang di Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang di sini, melakukan mogok di dalam premis berkenaan pada petang semalam berikutan kelewatan bayaran gaji sejak Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai mogok itu, kira-kira pukul 4 petangM dan mendapati 250 pekerja itu mogok secara aman di luar bangunan kilang tersebut.
“Mereka dipercayai tidak berpuas hati mengenai kelewatan pembayaran gaji oleh majikan sejak Jun lalu sehingga kini.
“Perbincangan antara pihak pengurusan kilang dan wakil pekerja asing itu berjalan dengan baik serta lancar,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambah Vijaya, isu berkenaan akan diselesaikan oleh kedua-dua pihak terlibat.
“Tiada mana-mana individu mengalami kecederaan atau berlaku kerosakan harta benda. Polis meminta orang ramai tidak menjadikan isu sebagai perkara sensitif yang boleh menggugat ketenteraman awam,” ujarnya. – UTUSAN