MELAKA: Masih terdapat seramai 238 mangsa banjir di negeri ini yang berlindung di empat pusat pemindahan sementara (PPS), setakat pukul empat petang tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Melaka, Lt. Kol. (PA) Kamarulsyah Muslim berkata, empat PPS yang masih beroperasi adalah Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Durian Tunggal di Alor Gajah, Sekolah Kebangsaan (SK) Krubong di Melaka Tengah serta SK Parit Penghulu dan SK Seri Mendapat di Jasin.
Ujarnya, hanya satu PPS yang ditutup hari ini iaitu SK Ayer Jernih di Alor Gajah pada pukul 11 pagi.
“Mangsa banjir paling ramai ditempatkan adalah di SK Parit Penghulu dengan 95 mangsa, diikuti SK Krubong (66 mangsa), SK Seri Mendapat (63 mangsa) dan Japerun Durian Tunggal (14 mangsa).
“Semalam kita telah menutup tiga PPS iaitu Balai Raya Paya Ikan, Balai Raya Gadek Dalam dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan,” katanya.
Tambah Kamarulsyah, setakat ini sebanyak 32 kawasan di ketiga-tiga daerah masih terjejas berikutan banjir kilat yang melanda pada Jumaat.
Jelasnya, Alor Gajah mencatatkan paling banyak kawasan terjejas dengan 18 lokasi masih dilanda bah iaitu Brisu, Kampung Paya Lebar, Sungai Siput, Bukit Balai, Kampung Beringin, Bukit Tambun dan Kampung Gadek.
“Turut terjejas adalah Kampung Padang Kambing, Kemuning, Kampung Ramuan China Besar, Kampung Belimbing Dalam, Jalan Keretapi Lama Kampung Pengkalan, Kampung Lubuk Redan, Kampung Pulau, Seri Jeram, Kampung Londang, Pekan Lubok China dan Kampung Ayer Molek Kuala Sungai Baru.
“Di Jasin kawasan-kawasan terlibat adalah Janda Berhias, Lanchang, Semujuk, Kampung Kilang Berapi, Kampung Paya Lengkong, Kampung Sungai Dua Asahan, Kampung Nyalas, Kampung Parit Putat Benteng, Kampung Parit Perawas, Kampung Batu Gajah Pasir dan Kampung Tasek.
“Dalam pada itu, hanya tiga kawasan di Melaka Tengah masih dinaiki air iaitu Kampung Paya Ikan, Kampung Lanjut Manis dan Kampung Tanah Merah,” katanya. – UTUSAN