BUTTERWORTH: 2025 dianggap sebagai tempoh genting dan mencabar buat Kerajaan Perpaduan kerana tahun itu menjadi tahun pengukuhan selepas tiga tahun kerajaan gabungan ditubuhkan.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sehubungan itu, beliau tidak mahu sebarang permasalahan khususnya isu-isu kecil atau perbezaan pendapat disuarakan melalui media-media sosial, pentas ceramah oleh ahli parti.
“Cukup-cukuplah… jangan bercakap secara ‘terbuka’. Kita juga ingatkan kawan-kawan dalam parti lain (dalam Kerajaan Perpaduan). Ada masalah, jumpa pemimpin, jumpa kami. Kami pun akan jumpa kalau ada masalah.
“Itu cara kita wujud dan memperkukuhkan tanda perpaduan. Bukannya guna media untuk bercakap perkara yang boleh kita selesaikan secara dalaman,” katanya ketika berucap semasa merasmikan Konvensyen BN Pulau Pinang di Pusat Konvensyen PICCA di sini, semalam.
Terdahulu, Ahmad Zahid memberitahu, Kerajaan Perpaduan sudah berjaya mengharungi dua tahun pertama penubuhan mereka dengan jayanya termasuk tahun ini.
“Tahun pertama (penubuhan) adalah tempoh penyesuaian kerana ada pelbagai parti di dalam Kerajaan Perpaduan itu.
“Ada 18 parti semuanya. Tapi, Alhamdulillah, penyesuaian itu berjalan dengan baik sama ada di peringkat atas atau akar umbi.
“Begitu juga dengan tahun kedua iaitu untuk mewujudkan keserasian (dalam kalangan parti yang berbeza). Walaupun nampak kuat (keserasian itu) di peringkat Pusat, belum tentu dapat diterjemahkan di peringkat negeri, Parlimen, DUN (Dewan Undangan Negeri) dan sebagainya. Tapi, Alhamdulillah, selepas dua tahun keserasian itu juga bertambah baik,” ujar beliau.
Jelas Ahmaz Zahid, tahun keempat penubuhan Kerajaan Perpaduan iaitu kira-kira dua tahun lagi pula boleh dianggap sebagai tahun pemantapan kerana pada tahun tersebut, persediaan dan persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
“Jadi, jangan pula apabila rasa diri akan ‘tamat tempoh’ (menjelang PRU-16), maka, mulalah mencari pintu atau lubang untuk peluang bagi melepaskan diri sahaja,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata, jalinan hubungan yang baik antara UMNO, MCA, MIC dan rakan-rakan dalam Friends of BN akan terus menjadi penyumbang utama kepada pengukuhan Kerajaan Perpaduan yang mentadbir Malaysia ketika ini.
“Ini penting kerana kita tidak mahu (terjadi) seperti penggal lalu, terlalu ‘rapuh’.
“Kerapuhan itulah menyebabkan tiga Perdana Menteri (dilantik) dalam satu penggal,” katanya yang percaya Kerajaan Perpaduan mampu bertahan sehingga PRU-16 tanpa sebarang masalah.