179 penumpang maut

179 penumpang maut

Anggota tentera Korea Selatan mencari mayat mangsa berhampiran bangkai pesawat Boeing 737-800 Jeju Air yang tergelincir dan meletup selepas merempuh tembok penghadang ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, semalam. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAN: Sebanyak 179 penum­pang ­termasuk anak kapal pesawat Jeju Air dari Bangkok ke Korea Selatan terkorban dalam nahas, semalam.

Nahas berlaku selepas pesawat itu tergelincir dari landasan dan merempuh tembok penghadang di hujung landasan lalu meletup, ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, kira-kira 288 kilometer (km) di barat daya Seoul.

Kejadian kira-kira pukul 9:03 pagi (waktu tempatan) dengan pesawat malang itu membawa 175 penumpang termasuk dua warganegara Thailand, dan enam anak kapal. Kesemua penumpang terkorban, kecuali dua kru dilaporkan terselamat, menurut agensi berita Yonhap.

Rakaman video tular menunjukkan pesawat Boeing 737-800 itu mendarat menggunakan bahagian perut pesawat, enjin terbakar dan mengeluarkan asap tebal, meluncur laju merempuh tembok penghadang lalu meletup.

“Kebanyakan penumpang tercampak keluar dari pesawat ketika ia melanggar tembok penghadang, menyebabkan peluang untuk selamat amat tipis,” kata seorang pegawai bomba kepada keluarga mang­sa dalam taklimat berkaitan insiden itu.

Setakat petang semalam, proses mengenal pasti mangsa masih diteruskan dengan 22 mayat telah dikenal pasti identiti mereka.

Menurut Kementerian Pe­ngangkutan Korea, juruterbang sudah mengeluarkan isyarat kecemasan dua minit sebelum pesawat tergelincir.

Katanya, kotak hitam telah ditemui daripada bangkai pesawat dan siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar nahas.

Ketua Balai Bomba Muan, Lee Jeong Hyun pula berkata, punca awal insiden mungkin disebabkan pelanggaran burung dan cuaca buruk, namun siasatan lanjut masih dilakukan untuk mengesahkan punca sebenar nahas.

Rakaman video yang di­kongsi oleh penyiar tempatan MBC menunjukkan pesawat malang itu mendarat di landasan Lapangan Terbang Muan, dengan asap keluar dari enjin, sebelum pesawat tersebut terbakar dengan cepat.

“Kami telah mengesahkan 62 kematian setakat ini akibat nahas ini,” kata Lee kepada AFP.

Pemangku Presiden Korea, Choi Sang-mok mengarahkan semua sumber digerakkan untuk menyelamatkan penum­pang.

“Semua agensi berkaitan, mesti menggerakkan semua sumber yang ada untuk menyelamatkan mangsa,” katanya dalam kenyataan.

Sang-mok juga dilaporkan memanggil mesyuarat kecemasan dengan anggota Kabinet untuk membincangkan operasi penyelamatan dan tindak balas.

Nahas itu merupakan insiden pertama melibatkan kematian dalam sejarah Jeju Air, syarikat penerbangan tambang rendah terbesar di Korea Selatan yang ditubuhkan pada 2005 dengan kira-kira 3,000 kakitangan.

Jeju Air dilaporkan me­ngendalikan penerbangan ke beberapa bandar utama Korea dan Asia Pasifik termasuk di Jepun, China, Filipina dan Thailand dengan 220 penerbangan sehari menggunakan 42 pesawat, setakat Januari lalu.

Pada 12 Ogos 2007, sebuah pesawat Bombardier Q400 dikendalikan Jeju Air, membawa 74 penumpang, terbabas dari landasan akibat angin kencang ketika mendarat di Lapangan Terbang Busan-Gimhae, mengakibatkan lebih 10 orang cedera.

Sementara itu, Kementerian Luar mengesahkan tiada rak­yat Malaysia terlibat dalam nahas tersebut.

Menurutnya, Kedutaan Besar Malaysia di Seoul sedang giat mengumpul maklumat berkaitan dan mengikuti rapat perkembangan nahas itu.

“Ingatan dan doa kami bersama keluarga mangsa yang terlibat dalam masa yang sukar ini.

“Rakyat Malaysia ingin mendapatkan bantuan atau maklumat berkaitan boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Seoul,” katanya.

Kedutaan Besar Malaysia di Seoul boleh dihubungi menerusi alamat: 129, Dokseodang-ro, Hannam-dong, Yongsan-gu, Seoul 04419, Republic of Korea, telefon +82-2-2077 8600 (general line)/+82-10-8974-8699, atau e-mel: [email protected]. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya