17 warga asing jadi penjaga parkir haram ditahan - Utusan Malaysia

17 warga asing jadi penjaga parkir haram ditahan

ANTARA pendatang asing tanpa izin ditahan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur dipercayai menjadi penjaga parkir haram di sekitar ibu negara. -ihsan Imigresen
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen (Imigresen) Kuala Lumpur menumpaskan kegiatan ‘ulat parkir’ didalangi pendatang asing tanpa izin (PATI) di ibu negara, semalam.

Modus operandi sekumpulan warga asing terbabit dengan sesuka hati meminta wang kepada setiap pemandu yang hendak meletakkan kenderaan selain mengenakan caj antara RM5 hingga RM10 untuk setiap kereta.

Dikatakan, kegiatan itu dilakukan membabitkan beberapa warga asing di lokasi terbabit dan aktiviti itu dibuat secara bergilir-gilir.

Bertindak hasil maklumat, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur melaksanakan Op Kutip KL Strike Force dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, operasi dilaksanakan bermula pukul 1 petang di dua lokasi iaitu Bukit Bintang dan Jalan Berangan.

Katanya, pihak Imigresen menahan seramai 17 lelaki warga asing berusia antara 20 hingga 30-an.

“Semakan mendapati 15 orang melibatkan warga Myanmar dan dua lagi warga Bangladesh.

“Kesemua PATI ini bekerja sebagai penjaga parkir haram,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, siasatan dijalankan untuk mengenal pasti sama ada kegiatan itu melibatkan sindiket, berapa gaji diterima mereka dan lain-lain.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Terdahulu tular di media sosial satu klip video berdurasi satu minit 38 saat berhubung rungutan seorang warga tempatan berkenaan kehadiran warga asing yang sesuka hati meminta caj parkir di kawasan awam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya