KLANG: Sejumlah 16,966 barangan elektrik tanpa permit import bernilai RM1.25 juta untuk jualan dalam talian dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Zon Bebas Pelabuhan Utara di sini, baru-baru ini.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, kejayaan itu hasil kerjasama Suruhanjaya Tenaga (SJT) yang menahan tujuh buah kontena dalam tempoh 21 hari bermula 9 Oktober lalu menerusi Operasi (Op) Renjat.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati barangan elektrik seperti penyedut hampagas, air fryer, lampu, kipas, mesin basuh, Smart TV, monitor komputer, pengisar, water dispenser dan induction cooker dipercayai tidak mendapat Perakuan Kelulusan COA oleh SJT.
“Modus operandinya adalah membuat pengikraran tidak benar di dalam Borang Kastam sebagai LCD TV, komponen kipas meja serta lampu kecemasan bagi mengelak keperluan mendapatkan COA bagi tujuan pengimportannya.
“Kita percaya kesemua barangan elektrik tersebut akan dijual platform dalam talian selain kedai elektrik,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Justeru, Norlela memberitahu, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 135 dan Seksyen 131 (1) (a) Akta Kastam 1967.
Sementara itu, dalam kes berasingan, beliau memberitahu sebanyak tujuh kenderaan mewah bernilai kira-kira RM1 juta termasuk cukai disita hasil pemeriksaan ke atas 29 gudang berlesen di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur menerusi Ops Terma bermula 7 hingga 30 Oktober lalu.
“Kenderaan itu melibatkan dua jenis Mercedes dan Toyota Alphard dan masing-masing sebuah untuk Ferrari, Nissan GTR dan Jaguar. Kesalahan yang dikesan ialah menyimpan kenderaan melebihi tempoh ditetapkan dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” ujarnya. – UTUSAN