YPNM sambut baik keputusan Mahkamah Tinggi perintah lelaki Singapura pulang duit pelabur RM28 juta - Utusan Malaysia

YPNM sambut baik keputusan Mahkamah Tinggi perintah lelaki Singapura pulang duit pelabur RM28 juta

MOHD. FIRDAUS ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini yang memerintahkan seorang lelaki warga Singapura memulangkan kira-kira RM28 juta kepada 122 orang pelabur dari negara ini yang menyamannya pada 2022 untuk mendapatkan semula pelaburan mereka.

Presiden YPNM, Datuk Dr. Mohd. Firdaus Abdullah berkata, pada Februari 2020, yayasan itu menerima aduan daripada lebih 400 pelabur yang mendakwa tersilap percaya kepada pengurus dana terkenal Singapura dan melabur kira-kira RM41.41 juta dalam sebuah syarikat di negara terbabit.

Beliau berkata, semasa aduan dibuat, pelabur-pelabur berkenaan mendakwa langsung tidak menerima sebarang pulangan daripada pelaburan dibuat.

“Selain mengadu, pelabur berkenaan juga meminta bantuan YPNM untuk mendapatkan semula kos pelaburan mereka.

“Jadi pada Februari 2020, mereka hadir sesi taklimat yang diadakan YPNM di Kuala Lumpur mendapatkan nasihat tentang cara membangkitkan perkara itu dengan pihak berkuasa Malaysia yang berkaitan dan Suruhanjaya Tinggi Singapura di Malaysia.

“YPNM juga menyerahkan memorandum kepada Kementerian Kewangan, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Tinggi Singapura di Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada ketika itu meminta perhatian dan siasatan mereka bagi mengelakkan lebih ramai mangsa terpedaya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Firdaus berkata, YPNM pada ketika itu turut mengumpul semua bukti dan menyerahkannya kepada pihak berkenaan supaya agensi berkaitan boleh mengambil tindakan.

Menurutnya, yayasan itu turut mengarahkan peguam YPNM, Tetuan Manian K. Marappan memfailkan saman menuntut semua wang pelaburan daripada syarikat tersebut.

“Syukur alhamdulillah, pelabur terbabit akhirnya mendapat kembali hak mereka. YPNM berterima kasih kepada Mahkamah Tinggi atas keputusan yang dibuat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN