Wujudkan undang-undang, unit khas cegah jenayah buli

Wujudkan undang-undang, unit khas cegah jenayah buli

Kerajaan disyor wujudkan undang-undang dan unit khas tangani jenayah buli. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Rang undang-undang berkaitan jenayah buli selain satu unit khas pencegahan budaya itu di sekolah, universiti dan tempat kerja perlu diwujudkan bagi mengelak masalah tersebut yang terus berulang.

Unit tersebut perlu mempunyai kuasa penuh tanpa masuk campur oleh pihak atasan dan telus dalam melaksanakan tanggungjawab.

Perkara itu perlu dilaksanakan segera bagi mengelak ia terus menjadi barah dalam masyarakat yang bakal memberi kesan trauma mendalam kepada mangsa.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perlis, Dr. Shamshul Anaz Kassim berkata, isu buli di negara ini masih serius dengan dalam tempoh tiga tahun iaitu 2021 hingga 2023, sebanyak 9,207 kes buli direkodkan di seluruh negara.

Menurut beliau, rekod pada 2022 juga menunjukkan Malaysia berada di tangga keenam kes buli tertinggi di dunia dan kedua di Asia dengan perkembangan tersebut sangat membimbangkan dari tahun ke tahun.

“Fenomena kes buli masih meruncing dan hukuman yang dikenakan kepada pelaku buli kurang memberi kesan dengan diibarat seperti ‘mencurah air di daun keladi’.

“Pelaku buli harus dihukum dengan hukuman setimpal. Kekejaman pelaku buli terhadap mangsa buli boleh dianggap sebagai satu jenayah. Undang-Undang yang setimpal harus diwujudkan terhadap jenayah buli tersebut tanpa mengira golo­ngan bangsawan atau golongan rakyat biasa.

“Undang-undang buli itu tidak sahaja dikenakan terhadap pelaku buli di sekolah tetapi perlu dikuatkuasakan di tempat kerja. Difahamkan banyak kes buli berlaku di sekolah, universiti dan tempat kerja seperti yang dilaporkan dalam akhbar,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi penegasan agar budaya buli di semua pusat pendidikan sama ada di universiti dan sekolah mesti dihentikan segera.

Anwar dilaporkan berkata, tiada tolak ansur berhubung tindakan itu kerana ia jelas merupakan satu bentuk penganiayaan kepada generasi muda.

Sehubungan itu, Perdana Menteri juga menegaskan, semua pentadbiran dan pengurusan sekolah, universiti mesti melihat perkara ini sebagai satu tanggungjawab menghentikan amalan buli dalam kalangan mahasiswa dan pelajar.

Baru-baru ini, seorang pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dipercayai menjadi mangsa buli pelajar senior.
Individu tersebut difahamkan didera menggunakan seterika yang ditekap pada dadanya sehingga meninggalkan kesan lecur.

Sementara itu, Shamshul Anaz berkata, kes buli mampu menyumbang kepada masalah kesihatan seperti tekanan, kelemahan mental dan fizikal selain melemahkan prestasi pem­belajaran pelajar serta prestasi pekerja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya