MARAN: Sebuah pasukan khas bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa lemas dan hilang perlu ditubuhkan terutama bagi kejadian di Sungai Pahang.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, ia merupakan satu keperluan ekoran ramai anggota dari luar daerah dan negeri ini perlu diambil bertugas setiap kali kejadian lemas dan seumpamanya.
“Sudah sampai masanya Pahang mempunyai team dedicated buat SAR. Kita tahu hotspot ni di Chenor, Temerloh, Jerantut, Lipis, Jerantut jadi kita kena kerah anggota dari beberapa daerah dan negeri baru dapat mempercepatkan operasi .
“Sekurang-kurangnya (kewujudan pasukan khas) dapat memantau di sepanjang sungai walaupun kita tahu Sungai Pahang ni panjang. Satu lagi buatlah notis, papan tanda peringatan di setiap daerah supaya orang ramai termasuk pemancing-pemancing agar lebih berwaspada. Jangan ambil mudah dengan persekitaran dan sungai, termasuk memakai kasut yang sesuai supaya tak mudah licin, tergelincir,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berangkat bercemar duli pada operasi SAR guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Afzan Chenor yang dikhuatiri lemas di Sungai Pahang, berhampiran Jeti Chenor, Kampung Chenor di sini hari ini.
Murdani Ab. Rahman, 53, yang bertugas sebagai Guru Penolong Kanan Kokurikulum disedari terjatuh ke dalam sungai kira-kira pukul 6 petang semalam sebelum dibawa arus deras.
Al-Sultan Abdullah tiba pada pukul 12.20 tengahari untuk melihat sendiri operasi dilakukan pasukan SAR, bertemu keluarga mangsa dan menzahirkan rasa dukacita atas kejadian yang berlaku.
“Saya berharap keluarga mangsa tabah menjalani saat sukar ini. Saya juga berharap operasi yang dilakukan berjaya menemukan Cikgu Murdani.
“Saya harap semua yang terlibat dalam operasi mengambil langkah-langkah keselamatan pada tahap tertinggi ekoran keadaan cuaca dan arus sungai yang deras,” titah baginda. – UTUSAN