SEREMBAN: Pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai (WCE) bagi jajaran Banting ke Gelang Patah, Johor semasa pembentangan Belanjawan 2025 baru-baru ini dijangka meningkatkan pembangunan ekonomi di kawasan sekitarnya termasuk Port Dickson.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lukut, Choo Ken Hwa berkata, lebuh raya itu juga pastinya memberikan laluan alternatif kepada pengunjung untuk ke pantai peranginan negara itu yang sebelum ini tertumpu menerusi laluan masuk di Lebuhraya Seremban-Port Dickson.
“Walaupun belum ada maklumat mengenai laluan dalam jajaran ini namun sekiranya ia melalui Port Dickson tentulah impaknya lebih besar lagi terutama kepada Port Dickson sebagai destinasi pelancongan.
“Memang sekarang untuk ke Port Dickson agak sesak khususnya pada hujung minggu dan cuti persekolahan. Sekarang ini sekiranya dari Banting ke Port Dickson, orang ramai boleh melalui laluan Tanjung Sepat seterusnya ke Sungai Pelek dan memasuki Chuah di Port Dickson,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 baru-baru ini memaklumkan Lebuhraya WCE Banting- Gelang Patah menjadi satu daripada lima projek berkepentingan rakyat yang akan diberi keutamaan pada tahun hadapan.
Mengulas mengenai perkara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyambut baik pengumuman Perdana Menteri itu dan akan membawa cadangan supaya lebuh raya itu seharusnya dipanjangkan sehingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Jelasnya, apabila ia disambung sehingga ke KLIA, ia akan membangunkan ekonomi kawasan keseluruhan jajaran itu termasuk Port Dickson.
Pada awal tahun lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan, Kementerian Kerja Raya bakal membina tujuh jalan raya alternatif yang baharu di Negeri Sembilan termasuk Lebuhraya Pantai Barat (WCE) Jajaran Selatan yang melibatkan Port Dickson. – UTUSAN