TAMPIN: Seorang warga emas maut apabila kereta yang dinaikinya terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 50 meter dalam kejadian di Kilometer 26, Jalan Tampin-Gemas, berdekatan Kampung Tengah, di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, nahas berlaku kira-kira pukul 2 petang membabitkan sebuah kereta jenis Honda City yang dinaiki tiga sekeluarga.
Menurutnya, berdasarkan siasatan, kereta dipandu oleh seorang lelaki berusia 34 tahun bersama dua penumpang termasuk ibu pemandu berusia 67 tahun dalam perjalanan pulang dari Melaka ke Felda Palong 1.
“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta yang dipandu telah hilang kawalan dan terbabas masuk ke dalam gaung yang berada di sebelah kiri.
“Akibat kemalangan, ibu pemandu yang duduk di belakang telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta mengalami kecederaan patah tulang belakang.
“Seorang lagi penumpang hadapan mengalami kecederaan ringan di kepala dan menerima rawatan awal di Hospital Tampin,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Amiruddien lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.-UTUSAN,