MELAKA: Seorang lelaki warga Bangladesh dipercayai menjadi dalang membekalkan minyak masak peket bersubsidi satu kilogram kepada kawasan pembinaan sekitar negeri ini ditahan dalam Op Kita Gempur di Batu Berendam di sini, hari ini.
Perbuatan tidak bertanggungjawab lelaki berusia 30-an itu berjaya dikesan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui risikan sejak sebulan lalu.
Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar berkata, penahanan itu kemudiannya membawa kepada serbuan di lokasi kedua iaitu sebuah tapak pembinaan projek perumahan di Krubong.
“Kawasan ini disyaki menjadi antara lokasi lelaki itu membekalkan minyak masak peket kepada buruh warga asing. Hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 84 minyak masak peket disorok di sebuah kedai makan yang beroperasi dalam kawasan tersebut.
“Modus operandi suspek adalah dengan menghantar minyak masak peket bersama barangan lain seperti sayur-sayuran bagi mengaburi mata pihak berkuasa. Kita percaya suspek telah lama bergiat aktif menyeleweng minyak masak bersubsidi walaupun dia menafikannya ketika disoal siasat,” katanya dalam sidang akhbar Op Kita Gempur.
Op Kita Gempur bermula pukul 9 pagi dan tamat 2 petang itu yang dilaksanakan secara bersepadu bersama Jabatan Imigresen, berjaya merampas 560 kilogram minyak masak peket dan 50 kilogram tepung dianggarkan bernilai RM1,553.
Semantara itu enam lelaki warga asing berusia antara 30-an dan 40-an turut ditahan dan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963, manakala dua daripada mereka disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Norena berkata, berdasarkan maklumat Jabatan Imigresen, serbuan ketiga dilakukan di sebuah taman perumahan di Malim dan menjumpai 102 minyak masak peket.
“Seorang lelaki warga asing ditahan bagi merakam percakapannya, memberitahu hanya mengambil upah menggoreng di premis berkenaan dan minyak masak tersebut adalah milik orang lain.
“Soal siasat itu membawa kepada lokasi serbuan keempat iaitu di sebuah rumah di Pengkalan Rama Pantai. Sebanyak 374 minyak masak peket serta tiga kotak tepung telah dirampas,” ujarnya. – UTUSAN