PETALING JAYA: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan mengemaskini data pesalah trafik warga asing melalui kaedah semak silang dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi mengenal pasti pemilik saman tertunggak.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri memberitahu Utusan Malaysia, pengemaskinian data itu adalah tindakan semasa pihaknya dalam mengumpul maklumat pesalah trafik yang disenarai hitam bagi saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) (K) 257 dan kes dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).
Menurut beliau, JSPT juga giat melakukan operasi saman tertunggak warganegara asing (OSTWA) bagi memburu pesalah trafik yang masih degil melangsaikan saman mereka.
“Operasi pemutihan saman tertunggak ini akan dilakukan menerusi pemeriksaan sekatan jalan raya (SJR) yang dilaksanakan secara berterusan,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, JSPT juga dalam perancangan melaksanakan penguatkuasaan saman di sempadan negara Malaysia – Singapura melalui sistem penguatkuasaan Permit Masuk Kenderaan (VEP) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan PDRM.
Kata beliau, menerusi pelaksanaan VEP ini, mana-mana kenderaan asing yang masuk ke Malaysia dan melanggar undang-undang perlu membayar saman sebelum meninggalkan negara ini.
“Bagi pesalah trafik warga tempatan pula, kita juga akan melakukan tawaran pengurangan saman secara bersasar mengikut kategori isi rumah iaitu T20, M40 dan B40.
“Kita (JSPT) juga akan mewujudkan saluran bayaran baharu iaitu transaksi tanpa sentuh (tap to pay) melalui pembayaran melalui alat peranti MCOPS di lapangan,” jelasnya.
Pada 8 November lalu, PDRM merekodkan terdapat lebih 43.5 juta saman berdaftar membabitkan nilai RM6.5 billion masih tertunggak dan belum dijelaskan sejak 1990 sehingga 6 November lalu, di seluruh negara membabitkan pesalah trafik warga tempatan dan warga asing.
Jumlah saman tertunggak itu adalah 33 peratus daripada jumlah keseluruhan saman berdaftar yang direkodkan untuk tempoh sama. – UTUSAN