PETALING JAYA: Seorang wanita mengandung antara tiga individu disahkan maut selepas kereta mereka terbabas berhampiran IOI Putrajaya, di sini awal pagi tadi.
Satu panggilan kecemasan diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor pada pukul 12.10 tengah malam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya kemudian dikejarkan ke lokasi.
Setibanya di lokasi kejadian, terdapat empat mangsa warga tempatan berusia lingkungan 20 hingga 40-an iaitu dua lelaki dan dua wanita mengandung dalam kereta jenis Perodua Viva terbabit.
“Kereta dinaiki mangsa dipercayai terbabas sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, seorang wanita dilaporkan parah dan dikejarkan ke Hospital Putrajaya.
“Tiga lagi iaitu dua lelaki dan seorang wanita disahkan meninggal dunia,” ujarnya.