ALOR SETAR: Seorang wanita dikhuatiri lemas selepas motosikalnya ditemukan dalam Sungai Pendang dekat Kampung Alor Binjai, Tajar dekat sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja, Penolong Penguasa Bomba Wan Azizul Hakim Wan Jaafar berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 9.54 pagi tadi.
Sebaik tiba di lokasi katanya, motosikal mangsa dilihat berada dalam sungai, berhampiran sebuah jambatan yang merentasi sungai berkenaan.
“Mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 30-an disyaki terbabas ke dalam sungai tersebut. Mangsa dikhuatiri lemas dan hanyut dengan operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan ketika ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.
Tambahnya, ketika ini pihaknya turut mendapatkan khidmat Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jitra dan Sungai Petani bagi melaksanakan usaha mencari dan menyelamat mangsa di dalam sungai yang berkedalaman melebihi empat meter. – UTUSAN