UTM terima Pro-Canselor baharu, 7,499 graduan dirai

UTM terima Pro-Canselor baharu, 7,499 graduan dirai

AHMAD FAUZI ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Mantan Naib Canselor Ke-4 Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Tan Sri Prof. Emeritus Ir. Dr. Mohd. Zulkifli Mohd. Ghazali akan diisytihar sebagai Pro-Canselor UTM yang baharu, semalam.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, perisytiharan itu akan disempurnakan oleh Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah pada Sesi 1 Majlis Konvokesyen UTM Ke-68 di Dewan Sultan Iskandar, UTM, di sini.

“Zulkifli menjawat jawatan sebagai Naib Canselor UTM selama tujuh tahun bermula 2001 hingga 2008. Sepanjang tempoh itu, beliau telah menjadikan UTM sebuah universiti berjenama global dengan merintis pelbagai ruang kerjasama dengan universiti luar negara.

“Kepakaran dalam bidang kejuruteraan dan ketokohan aspek kepemimpinan melayakkan beliau diangkat sebagai Pro Canselor UTM,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Konvokesyen UTM ke-68, di sini.

Pada sesi pengijazahan pertama semalam juga menyaksikan penganugerahan gelaran Prof. Emeritus kepada dua tokoh akademik UTM, iaitu Datuk Ir. Dr. Wahid Omar dan Ir. Mohamad Afifi Abdul Mukti.

Ahmad Fauzi memberitahu, Wahid merupakan mantan Naib Canselor UTM Ke-6 yang menerajui universiti awam berkenaan selama tujuh tahun bermula 2013 hingga 2020.

“Walaupun sudah bersara, beliau masih meneruskan khidmat di UTM dengan memberi sumbangan dalam pembangunan bakat kepimpinan di universiti ini.

“Ir. Mohamad Afifi yang menerima anugerah sama adalah mantan Profesor dan Dekan di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UTM. Beliau figura signifikan dalam penggubalan dan pembangunan kurikulum kejuruteraan di UTM dan seluruh negara.

“Sejak mula berkhidmat di UTM pada 1973, Mohamad Afifi membawa pelbagai pembaharuan termasuk memperkenalkan latihan industri sebagai kriteria bagi kurikulum kejuruteraan yang akhirnya diguna pakai di semua universiti dalam negara hingga sekarang,” jelasnya.

Istiadat Majlis Konvokesyen itu juga bakal diserikan dengan keberangkatan Raja Zarith Sofiah selaku Canselor UTM bersama Pro-Canselor UTM, Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.

Pada majlis konvokesyen kali ini yang diadakan di Dewan Sultan Iskandar, seramai 7,499 graduan UTM bakal diraikan termasuk penerima hadiah akademik.

Mereka terdiri daripada seramai 584 graduan ijazah doktor falsafah, 1,352 ijazah sarjana, 4,581 ijazah sarjana muda, 899 diploma dan 83 diploma eksekutif.

Majlis konvokesyen kali ini turut menyaksikan seramai 1,149 graduan antarabangsa dari 56 negara dianugerahkan ijazah dengan Indonesia, China dan Bangladesh merupakan tiga negara dengan graduan tertinggi.

Sejak 1972, UTM sudah melahirkan seramai 232,222 graduan dengan 12,450 merupakan graduan antarabangsa dari 107 buah negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya