SEREMBAN: Perlu adanya keseimbangan daripada segi keperluan utuk universiti di negara ini berada dalam kedudukan ranking yang terbaik disamping memastikan ekosistem pendidikan secara keseluruhan di universiti itu juga berkualiti.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, kerajaan menyedari keperluan untuk sesebuah university untuk mendapat pengiktirafan menerusi kedudukan ranking namun memastikan sistem pengajian berjalan dengan sebaiknya adalah penting.
“Dalam konteks ranking ini, kita perlu seimbang daripada segi keperluan negara untuk mendapat pengiktirafan ranking university kerana kita berada di tempat negara yang terus membanguan dalam bidang pendidikan justeru mesti ada penanda aras kepada universiti.
“Tetapi itu bukanlah semata-mata kriteria untuk menjadi universiti yang hebat, perlu ada satu ekosistem keseluruhan termasuk dalam kalangan pensyarah berkualiti, daripada masa mereka mengajar termasuk penerbitan dan kajian mereka.
“Saya anggap bahawa ranking ini hanyalah panduan, bukannya ultimate (muktamad) akhirnya yang menjadi matlamat terpenting sesebuah universiti itu, untuk menjadi sebuah universiti yang hebat dan ternama adalah merangkumi kedudukan sistem dan kualiti pengajian, pensyarah dan penerbitan yang dikeluarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Kepimpinan Muda Kebangsaan Karisma: Pemikir Madani Siri Keempat 2024 di Institut Kepimpinan dan Pembangunan (ILD) UiTM Bandar Enstek di sini hari ini.
Pada majlis berkenaan, Zambry turut melancarkan Sekretariat Pemikir Muda Negara (Pemikir) yang dianggotai 23 orang pensyarah muda daripada semua universiti awam yang berperanan membantu Kementerian Pendidikan Tinggi membangunkan kepimpinan muda dalam pendidikan tinggi negara.
“Harapan kami dengan adanya Pemikir ini, mereka akan dapat juga membantu kita bersama-sama meneroka bidang-bidang baharu, bekerjasama dalam pelbagai bidang di peringkat kementerian,” jelasnya.
Sementara itu, beliau sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan tidak berhasrat untuk mengekang hak para pensyarah untuk menyampaikan pandangan.
“Seperti tadi, mereka adakan perbincangan dan interaksi secara langsung dengan saya maknanya kita tidak sekat pandangan dan suara mereka dan saya telah nyatakan berkali-kali bahawa kerajaan tidak berhasrat untuk mengekang hak para pensyarah untuk menyampaikan pandangan mereka,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Zambry menegaskan bahawa institut pengajian tinggi di negara ini perlu memberikan perhatian serius terhadap isu buli meskipun tiada aduan mengenai kes itu di universiti awam lain setakat ini.-UTUSAN.