UiTM kongsi kepakaran pengajaran STEM dengan Indonesia

UiTM kongsi kepakaran pengajaran STEM dengan Indonesia

STEM UiTM
MAHASISWA UiTM turut berkongsi kemahiran dan pengetahuan dalam pengajaran STEM bersama mahasiswa Universitas Negeri Yogyakarta (UNY).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Universitas Negeri Yogyakarta (UNY) mengiktiraf model dan kaedah pengajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Pengiktirafan tersebut melalui dua pensyarah kanan UiTM yang dijemput berkongsi pengalaman dan kepakaran berkaitan Pemerkasaan Pendidikan STEM, khususnya di peringkat sekolah dalam konteks Malaysia.

Menurut Pensyarah Kanan dalam Kaedah Pengajaran STEM dan Sains, Mohamad Hisyam Ismail berkata, ia mencerminkan pengiktirafan terhadap sistem pendidikan STEM Malaysia terutama UiTM kerana model dan kaedah digunakan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

“Ia dapat dijadikan sumber rujukan dan garis panduan untuk bakal pendidik di rantau ASEAN, khususnya dalam menghadapi transformasi pendidikan global.

“Lima aktiviti utama disusun sepanjang lawatan itu. Tiga syarahan tamu turut mengetengahkan topik-topik penting seperti STEM Digital, Pedagogi STEM dalam Pengajaran Sains dan juga Transformasi Pengajaran STEM untuk Pendidik Masa Hadapan,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, Inisiatif itu bukan sahaja mengukuhkan hubungan akademik antara dua universiti tetapi turut memartabatkan sistem pendidikan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Program itu merupakan sebahagian daripada International Visiting Scholars & Students Mobility UiTM-UNY, yang berlangsung dari 13 hingga 15 November 2024.

Penglibatan mahasiswa UiTM juga dilapor memberi impak positif kepada keseluruhan program yang memainkan peranan penting dalam berkongsi pengalaman dan kepakaran melalui penglibatan kehadiran dalam kuliah-kuliah dan kursus-kursus bersama mahasiswa UNY yang bagi menyerlahkan lagi kebolehan dan profesionalisme generasi muda UiTM sebagai duta pendidikan STEM Malaysia.

Sementara itu, seorang lagi pensyarah kanan iaitu Koordinator Program Pendidikan Sains UiTM Muhamad Furkan Mat Salleh memberitahu, pentingnya kerjasama serantau dalam memperkasakan pendidikan STEM, sejajar dengan usaha melahirkan tenaga pengajar masa depan yang berdaya saing.

“UiTM terus memperlihatkan kesungguhan dalam menyediakan tenaga pakar melalui penglibatan dalam program berimpak tinggi di peringkat antarabangsa. Usaha ini selari dengan aspirasi UiTM untuk menjadi Globally Renowned University menjelang 2025.

“Inisiatif itu diharap mendapat perhatian Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi bagi menyokong usaha memperkukuh pendidikan STEM di rantau ASEAN,” ujarnya.

Katanya lagi, UiTM wajar dipuji atas usahanya yang konsisten dalam menonjolkan kepakaran negara serta mendukung pendidikan bertaraf global. Semoga kolaborasi ini menjadi pencetus kepada kerjasama yang lebih erat, menyumbang kepada pemerkasaan pendidikan STEM di ASEAN dan dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN