Tukang gunting rambut didakwa miliki 900 liter air ketum - Utusan Malaysia

Tukang gunting rambut didakwa miliki 900 liter air ketum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang tukang gunting rambut dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki air ketum seberat 900 liter di sebuah rumah di Pakatan Jaya dekat sini, Jumaat lalu.

Tertuduh, Jamal Mirdad Khairuddin, 41, mengangguk faham selepas pertuduhan ke atasnya itu dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret S. Punitha.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki cecair mitragynine sebanyak 900 liter yang disenaraikan dalam Jadual Pertama dan Ketiga (Bahan-bahan Psikotropik) Akta Racun 1952 di sebuah rumah di Pakatan Jaya, Ipoh pada pukul 12.10 tengah malam, 22 November 2024.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tempoh lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Vatchira Wong Rui Fern mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin namun Nor Izawani Ahmad Jalaludin daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon jaminan rendah dikenakan terhadap lelaki itu.

Menurut Nor Izawani, anak guamnya itu yang merupakan seorang duda bekerja sebagai tukang gunting rambut dengan berpendapatan harian sebanyak RM80.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Februari depan bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Menerusi laporan media pada Sabtu lalu, satu sindiket memproses dan menjual air ketum yang aktif sejak dua tahun lalu tumpas dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Pakatan Jaya di sini.

Dalam serbuan itu, 3,000 bungkusan air ketum dianggarkan seberat 900 liter yang tersimpan dalam tong air berwarna oren dirampas dan enam lelaki tempatan berusia antara 24 hingga 42 tahun dipercayai ahli sindiket ditahan bagi membantu siasatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya