PETALING JAYA: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menafikan gambar dan video tular rangka pesawat pejuang jenis F-5E buatan Amerika Syarikat (AS) yang dikatakan milik perkhidmatan itu di media sosial.
TUDM dalam satu kenyataan menegaskan bahawa pesawat-pesawat tersebut bukan milik mereka.
“TUDM ingin menjelaskan semua pesawat milik TUDM berada dalam pegangan TUDM dan diuruskan secara sistematik, selamat dan bersesuaian dengan pengoperasian TUDM.
“Justeru pihak TUDM menyeru agar tidak membuat sebarang andaian yang boleh menimbulkan spekulasi atau persepsi yang tidak benar berhubung perkara ini,” katanya hari ini.
Sebelum ini, gambar tular memaparkan beberapa rangka pesawat jenis F5E yang dikatakan milik TUDM tersadai di sebuah pelabuhan. – UTUSAN