KUALA LUMPUR : Kerajaan akan membuat cadangan lain sekiranya tidak dapat mencapai kata putus dalam melaksanakan sistem penggunaan Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF).
Menjelaskan perkara itu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tempoh itu akan ditentukan sehingga 16 Disember kerana pada ketika ini, kerajaan belum mendapat persetujuan daripada keseluruhan konsesi untuk melaksanakan sistem berkenaan.
“Sekarang, Singapura dan Indonesia sudah mengguna pakai sistem tersebut, begitu juga dengan Indonesia dan Thailand. Tempoh rundingan kita adalah sehingga 16 Disember 2024 dan apa yang berlaku rundingan antara konsesi di atas konsesi dan sekarang kita ada 33 konsesi.
“Kaedah MLFF ini tidak semua konsesi bersetuju, dalam rundingan 20 konsesi setuju dan 13 lagi tidak bersetuju,” katanya ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Terdahulu, Muhammad Fawwaz bin Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) meminta kementerian menyatakan perkembangan terkini sistem tol tanpa palang.
Mengulas lanjut, Ahmad turut berkata, setakat ini 0.01 peratus sahaja masalah pengguna jalan raya yang tidak membayar tol.
“Jika kita laksanakan MLFF, kita perlu meminda akta tertentu kerana palang tol sekarang ini berbentuk kawalan. Kita boleh melihat dengan jelas dan tidak bayar cuma 0.01 peratus sahaja, sama ada mereka melanggar palang tersebut dan kes itu sangat sedikit atau terdapat kenderaan yang mengikuti rapat dengan kenderaan di hadapan dan mereka boleh lepas.
“Tetapi kalau sudah ada tol yang tidak ada palang seperti sekarang, jumlah mereka yang tidak bayar tol itu akan bertambah. Jadi kita kena pinda akta siapa yang perlu membayar tol bagi mereka yang lari untuk tidak membuat bayaran tol itu,” ujarnya.