PORT DICKSON: Cadangan untuk meningkatkan hukuman bagi mengekang penyebaran ajaran sesat di negara ini dalam proses perbincangan di peringkat jawatankuasa.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, isu hukuman yang dianggap rendah itu banyak dibincangkan dan pihaknya komited melaksanakan tindakan sewajarnya bagi mengatasi isu tersebut.
“Bab hukuman itu banyak dibincangkan dan masih lagi dalam peringkat jawatankuasa (berkaitan) untuk tingkatkan lagi bagaimana tindakan dan juga hukuman yang sepatutnya serta sewajarnya bagi mereka yang mengembangkan ajaran sesat yang bercanggah dengan akidah ahli sunnah wal jamaah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui sempena Majlis Perasmian Penutupan Kursus Pascaperkahwinan Islam “Fasa Semarak Kasih”, di sini hari ini.
Untuk rekod, bidang kuasa Mahkamah Syariah terbatas kepada hukuman ‘3-5-6’ iaitu terhad penjara maksimum sehingga tiga tahun, denda maksimum RM5,000 dan enam kali sebatan.
Bulan lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, kerajaan mengaktifkan semula Jawatankuasa Pemandu Menangani Ajaran Sesat Peringkat Kebangsaan (Japas).
Menurut Zulkifli, Kerajaan sedang memantau secara dekat, lapan lagi ajaran agama di seluruh negara termasuk membuat risikan dan siasatan ke atas 12 lagi ajaran yang berpotensi berlaku kesesatan.
Sementara itu, Sirajuddin menasihatkan umat Islam untuk menyalurkan maklumat kepada pihak Jakim sekiranya mendapati terdapat ajaran yang diragui akan kebenarannya.