KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan bahawa tindakan pihak berkuasa merampas 172 jam tangan Koleksi Pride yang dikaitkan dengan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) tahun lalu adalah tidak sah.
Sehubungan itu, Hakim Datuk Amarjeet Singh memerintahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memulangkan kesemua jam tangan tersebut dipulangkan kepada The Swatch Group (Malaysia) Sdn. Bhd. dalam tempoh 14 hari bermula hari ini.
“Namun sekiranya terdapat kerosakan pada jam, pihak-pihak boleh membuat permohonan lain bagi menuntut ganti rugi,” kata Hakim Amarjeet.
Pada 24 Jun 2023, Swatch Malaysia selaku pemohon memfailkan semakan kehakiman atas alasan rampasan 172 jam tangan itu tidak sah kerana barangan itu bukan sebuah ‘penerbitan’ yang boleh dilarang dalam Akta Mesin Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984.
Pemohon menamakan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan KDN, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai responden pertama hingga keempat.
Menerusi permohonan itu, syarikat berkenaan menyatakan, istilah penerbitan merujuk kepada dokumen, surat khabar, buku atau sebarang bahan dalam bentuk bercetak berdasarkan akta itu.
Pemohon juga mendakwa tindakan responden dilakukan atas motif politik yang tidak wajar. Pemohon mendakwa jam tangan yang disita tidak mempromosikan apa-apa gejala seksual, namun hanyalah ekspresi menyeronokkan mengenai keamanan dan cinta.
Katanya, jam tangan dari reka bentuk 2023 adalah satu daripada enam warna pelangi dan hanya kelihatan di sebahagian kecil gelung jam berkenaan. Sehubungan itu, The Swatch Group (Malaysia) memohon satu perintah certiorari dan mandamus untuk membatalkan notis penyitaan dan mengembalikan jam tangan berkenaan serta ganti rugi yang dianggarkan RM64,795.
Pada 13 dan 14 Mei 2023, KDN menyerbu 11 butik jam tangan jenama Swatch di beberapa negeri dan merampas 172 jam jam tangan Koleksi Pride mengandungi sembilan reka bentuk bertemakan pelangi yang sering dikaitkan dengan komuniti LGBT.
Serbuan selama dua hari diadakan di butik Swatch yang terletak di pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur, One Utama, Sunway Pyramid, Setia City Mall, Mid Valley Megamall, Southkey, Sunway Putra Mall, Sogo KL, Queensbay, Fahrenheit 88 dan Suria Sabah.
Lima lagi butik diberi amaran iaitu di Kuala Terengganu City Centre, AEON Kota Bharu, Aman Central Kedah, City Square dan Viva City Kuching.