PETALING JAYA: Tiga wilayah di selatan Thailand iaitu Pattani, Yala dan Narathiwat turut dilanda banjir selepas hujan lebat berterusan selama lima hari lalu.
Gabenor Wilayah Pattani, Pateemoh Sadeeyamu berkata, kawasan perdagangan utama di Pattani mengalami banjir teruk akibat limpahan Sungai Pattani dengan paras air mencecah sehingga satu meter.
“Selain daerah Muang Pattani, beberapa daerah lain seperti Yarang, Saiburi, Mae Lan dan Khok Pho turut dilanda banjir.
“Di Yala dan Narathiwat, situasi banjir bertambah buruk apabila sungai berhampiran melimpah sehingga mencapai paras berbahaya,” katanya.
Menurut kenyataan Jabatan Lebuhraya Thailand, setakat semalam, 47 lokasi di lebuh raya dilaporkan terjejas berikutan bencana banjir di wilayah Selatan Thailand, namun 39 lokasi masih dibuka untuk laluan trafik dan lapan terpaksa ditutup.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Thailand dalam kenyataan memaklumkan hujan lebat dijangka melanda wilayah selatan Thailand, termasuk Chumphon, Surat Thani, Nakhon Si Thammarat, Phatthalung, Songkhla, Pattani, Yala, Narathiwat, Phangnga, Phuket, Krabi, Trang dan Satun.
Pejabat Gabenor Narathiwat mengeluarkan amaran kepada penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Golok dan Sungai Saiburi supaya berpindah ke kawasan lebih selamat sebagai langkah berjaga-jaga.- UTUSAN