PASIR MAS: Hasrat tiga lelaki untuk mengaut keuntungan hasil jualan air ketum tidak kesampaian selepas dicekup anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa dalam serbuan di sebuah bangsal di Kampung Aur Cina, di sini malam tadi.
Dalam serbuan pukul 11.30 malam itu, kesemua suspek cuba meloloskan diri sejurus menyedari kehadiran anggota PGA namun gagal selepas berjaya ditangkap.
Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan di lokasi serbuan membawa kepada penemuan 42 bungkus air ketum.
Menurutnya, saringan air kencing yang dilakukan mendapati dua daripada tiga suspek itu positif dadah jenis Benzo.
“Kesemua suspek yang ditahan itu masing-masing 29, 30 dan 34 tahun.
Anggaran nilai rampasan bernilai RM1,260.
“Kes disiasat bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, semua suspek dan hasil rampasan diserahkan kepada Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.-UTUSAN