PETALING JAYA: Sebanyak tiga kilang memproses makanan di Bandar Teknologi, Semenyih, Kajang musnah terbakar pagi ini.
Pasukan bomba dan penyelamat mengetahui kejadian itu pada pukul 10.44 pagi itu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan.
“JBPM turut menghantar pasukan bantuan bersama lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih; Bandar Tun Hussein Onn (BTHO); Bangi; Seri Kembangan serta Petaling Jaya.
“Kerja pemadaman tiga unit kilang berkenaan segera dijalankan membabitkan kekuatan 27 pegawai dan anggota dengan api berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 11.45 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata, pemeriksaan mendapati kilang pertama musnah 100 peratus manakala kilang kedua mengalami kemusnahan 20 peratus.
Beliau berkata, bagi kilang ketiga pula musnah sebanyak 30 peratus.
“Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” jelasnya.- UTUSAN