ALOR SETAR: Hasrat tiga gadis untuk beriadah dengan mendaki Bukit Kodiang yang popular sebagai Bukit Mok Cun di Kubang Pasu terbantut setelah mereka tersesat dengan seorang daripadanya cedera.
Ketiga-tiga mangsa yang berusia lingkungan 20-an itu bagaimanapun diselamatkan pasukan bomba setelah menerima panggilan kecemasan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Bustan Karudin berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 12.46 tengah hari sebelum 10 anggota bergegas ke lokasi.
“Tindakan awal dilakukan dengan lima anggota bomba bersama dua anggota polis dan seorang anggota Rela naik ke bukit itu.
“Daripada maklumat orang awam, mereka berjaya ditemukan oleh malim gunung dengan seorang daripadanya mengalami kecederaan di kaki,” katanya.
Beliau berkata, operasi tamat pada pukul 2.50 petang semalam apabila kesemua mangsa dibawa turun dengan selamat.