BAGAN DATUK: Kerana kurang berkemampuan, tiga beradik lelaki tinggal di rumah pusaka yang daif di Kampung Parit 1, Sungai Sumun di Hutan Melintang di sini yang mengalami pelbagai kerosakan pada strukturnya akibat dimamah usia.
Mohd Sha’ari Ahmad Damiri, 59, dan dua adiknya, Mohamad Safri, 55, dan Zainal Abidin 37, tinggal di rumah yang lantainya sudah reput dan berlubang manakala dinding dimakan anai-anai selain bumbung rumah bocor.
Ketiga-tiga mereka yang masih bujang hanya bekerja kampung dan pendapatan yang diperoleh tidak mampu untuk mereka membaiki kesemua kerosakan pada rumah tersebut.
Mohd Sha’ari berkata, rumah itu dipercayai sudah berusia lebih 80 tahun yang diwarisi daripada datuk dan nenek mereka.
Katanya, sebelum ini mereka tinggai menyewa di Kampung Selekoh, tidak jauh dari Sungai Sumun namun berpindah ke rumah pusaka tersebut bagi memudahkan saudara mara untuk menziarahi mereka.
“Kami memohon kepada pihak yang berkenaan untuk bantuan baik pulih rumah ini demi keselesaan kami adik beradik.
“Kami tidak mampu untuk membiayai kos baik pulih kerana bekerja kampung. Kami mengambil upah memotong buah sawit dengan pendapatan RM15 hingga RM20 sehari.
“Keadaan rumah ini yang uzur, banyak bahagian mengalami kerosakan menyebabkan kami rasa takut ia boleh roboh terutama semasa hujan dan ribut,” katanya ketika ditemui baru-baru ini. – UTUSAN