PASIR MAS: Dua lelaki tidak sempat membawa 60 kotak minyak masak peket bernilai RM2,550 selepas kereta jenis Proton Waja yang mereka naiki ditahan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) di jalan Banggol Stol-Mungkirim di sini semalam.
Tangkapan dan rampasan dilakukan pada pukul 6.30 petang menerusi penugasan Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas kereta tersebut telah menjumpai 60 kotak minyak masak tanpa dokumen yang sah.
Menurutnya, anggaran nilai rampasan minyak masak bernilai RM 2,550.
“Kedua-dua suspek yang ditahan masing-masing berusia 26 dan 31 tahun itu dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup minyak masak tersebut ke negara jiran.
“Suspek dan barang rampasan kemudian dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, kes disiasat dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Katanya, PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan dari terus berleluasa di sempadan negara.-UTUSAN