Penuntut tahun tiga UPNM tak mengaku pijak guna spike boot - Utusan Malaysia

Penuntut tahun tiga UPNM tak mengaku pijak guna spike boot

SUSPEK kes buli seorang penuntut tahun satu UPNM ketika dibawa anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur di sini semalam. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selang dua minggu seorang pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) didakwa kerana menekap seterika wap ke dada pelatih junior, semalam seorang lagi dituduh di mahkamah kerana mencederakan pelatih lain.

Mohd. Adil Mat Awang Ghani, 22, didakwa menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Haziq Iqbal Ahmad Rashidi, 19, dengan memijak perut mangsa dengan spike boot di padang kawad ALK UPNM Kem Sungai Besi, Cheras, pukul 10.45 malam, 21 Oktober lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun dan denda maksimum RM2,000 atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Sabri Othman mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan, tertuduh tidak mendekati pengadu dan saksi-saksi pendakwaan yang terdiri daripada pegawai UPNM dan beberapa orang kadet.

Tertuduh diwakili peguam bela, Nurul Diyana Basher dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) bagaimanapun memohon mahkamah memberikan jaminan rendah terhadap tertuduh.

“Tertuduh, 22 tahun masih lagi di bawah tanggungan ibu bapa. Mohon mahkamah memberikan pertimbangan meletakkan jumlah jaminan seminimum yang mungkin,” katanya.

Majistret Noorelynna Hanim Abd. Halim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 10 Februari depan bagi sebutan semula kes.

Awal November lalu, media melaporkan satu lagi kejadian buli dilaporkan di UPNM membabitkan penuntut tahun satu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, dalam laporan tersebut, polis menerima laporan kejadian pada pukul 8.40 malam, 8 November lalu.

Kejadian berlaku pukul 10.45 malam, 21 Oktober itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan dan patah tulang akibat dipijak seorang pelatih tahun tiga di universiti itu.

8 November lalu, pegawai kadet ALK UPNM, Amirul Iskandar Norhanizan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap pegawai kadet junior universiti itu dengan menggunakan seterika wap panas bulan lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya