Tiada unsur perkauman, tindakan DBKL selaras Perlembagaan - Awang Sariyan - Utusan Malaysia

Tiada unsur perkauman, tindakan DBKL selaras Perlembagaan – Awang Sariyan

AWANG SARIYAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menguatkuasakan undang-undang penggunaan Bahasa Melayu di premis perniagaan dan kawasan awam adalah selaras Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Tokoh bahasa, Datuk Seri Prof Dr Awang Sariyan berkata, justeru itu tiada unsur perkauman dilakukan DBKL dalam menguatkuasakan Undang-undang Kecil Iklan berhubung hal penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di tempat awam.

“Lebih asas lagi, Bahasa Melayu ialah bahasa negara milik dan tanggungjawab semua warga negara Malaysia tanpa mengira asal keturunan.

“Jadi, siapakah yang sebenarnya yang bersentimen perkauman?,” katanya dalam media sosial hari ini.

Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing menyifatkan tindakan penguatkuasaan DBKL mengenai peraturan papan tanda dwibahasa mengakibatkan tindak balas emosi dan melampaui batas sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati serta wujud persepsi negatif dalam kalangan pelancong.

Beliau dilaporkan berkata, tindakan juga menyebabkan pelancong mempersoalkan keterbukaan dan keterangkuman Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum.

Pada Khamis lalu, media melaporkan DBKL melancarkan operasi berskala besar menyasarkan papan tanda yang tidak memaparkan Bahasa Melayu di beberapa kawasan termasuk Segambut, Pudu dan Jalan Silang di Kuala Lumpur.

Operasi itu membabitkan pasukan penguatkuasaan dan pelesenan DBKL bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta pihak polis.

Dalam pada itu, bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, pelancong kurang tertarik datang ke Malaysia bukan hanya disebabkan tiada papan tanda bertulisan Mandarin semata-mata, sebaliknya promosi pelancongan negara tidak dilakukan dengan sewajarnya.

Katanya, bandar utama negara lain seperti Bangkok sentiasa dipenuhi pelancong walaupun tidak mempunyai papan tanda Mandarin.

“Pelancong bukan hanya tidak datang disebabkan promosi tidak rancak, tetapi hakikatnya produk pelancongan tidak semeriah di negara-negara lain.

“Fasiliti untuk pelancongan kita tidak bersepadu termasuk tiada aplikasi buatan Malaysia yang boleh membantu mereka mendapatkan maklumat, memudahkan perjalanan dan memudahkan urusan pembayaran.

“Bukan kerana tiada papan tanda bertulisan Mandarin, Bangkok, Paris, Moscow, Bali, London semua tiada papan tanda Mandarin, tetapi kebanjiran pelancong jauh melebihi Malaysia,” katanya dalam akaun X beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya