Tiada pengalaman bukan lagi alasan dibayar gaji rendah

Tiada pengalaman bukan lagi alasan dibayar gaji rendah

Profesor Dr. Balakrishnan Parasuraman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majikan yang terus memberi alasan kekurangan pengalaman dan kemahiran untuk tidak menaikkan gaji minimum graduan tidak lagi relevan dengan keadaan pasaran kerja masa kini.

Dekan Pusat Pengajian Siswazah, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Profesor Dr. Balakrishnan Parasuraman berkata, apa yang diperlukan adalah graduan boleh membuktikan mereka layak untuk diambil bekerja dengan menunjukkan kemahiran, pengetahuan dan sikap profesional yang dikehendaki dalam industri.

Menurut beliau, ini termasuk kemampuan untuk menyelesaikan tugas, kemahiran komunikasi yang baik serta kebolehan untuk bekerja dalam satu pasukan.

“Pengalaman praktikal seperti latihan industri atau kerja sambilan juga boleh menjadi nilai tambah untuk membuktikan graduan bukan sahaja memiliki kelayakan akademik tetapi juga pengalaman dalam dunia kerja sebenar.

“Dengan cara ini, graduan dapat meningkatkan kebolehpasaran mereka dan memberi keyakinan kepada majikan untuk menawarkan pekerjaan dan kenaikan gaji yang setimpal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Akhbar ini semalam melaporkan kenaikan gaji purata hanya sebanyak RM56 setahun sejak 30 tahun lalu menjadikan isu penda­patan statik sebagai ma­salah serius di Malaysia.

Menurut kajian Ins­titut Penyelidikan Kha­za­nah (KRI), pada 2010 hampir 15 ta­hun lalu, sebanyak 60 pe­ra­tus daripada mereka yang bekerja dengan Ijazah Sarja­na Muda menerima gaji bawah RM2,000.

Data pada 2021 pula me­nunjukkan ia tidak berubah dengan sebanyak 59.6 pe­ratus graduan masih me­­ne­­rima gaji di bawah RM2,000.

Mengulas lanjut, Balakrishnan berkata, majikan boleh mempertimbangkan untuk meningkatkan kadar gaji minimum terutama selepas enam bulan hingga setahun graduan bekerja.

Kata beliau, dalam tempoh tersebut, graduan berpeluang untuk membuktikan komitmen mereka dengan menunjukkan peningkatan dalam kemahiran, prestasi kerja dan produktiviti.

“Langkah meningkatkan kadar gaji selepas enam bulan hingga setahun bekerja juga boleh membantu mengelakkan graduan berkemahiran berhijrah ke luar negara.

“Ini kerana jika graduan merasakan gaji dan peluang kerjaya di Malaysia setimpal dengan kemahiran dimiliki berkemungkinan mereka kekal di negara ini,” katanya.

Kata beliau, kerjasama antara Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Ekonomi, Kementerian Pengajian Tinggi dan Majlis Perundingan Gaji Negara penting untuk membincangkan langkah bagi memastikan graduan menerima gaji setara dengan kelayakan akademik serta kemahiran dimiliki.

“Ini termasuk memperhalusi struktur gaji permulaan, mengenal pasti bidang kerjaya yang memerlukan penyesuaian kadar gaji dan memastikan graduan yang memasuki pasaran kerja diberi gaji sejajar dengan perkembangan ekonomi semasa,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Novel Lyndon berkata, gaji minimum RM1,700 belum mencukupi untuk graduan yang baru memasuki pasaran kerja.

Kata beliau, kerajaan perlu mempertimbang pemberian insentif seperti pengurangan cukai kepada majikan bagi meningkatkan gaji permulaan graduan kepada RM2,500 hingga RM3,000 sebulan.

“Ini dapat membantu graduan menyesuaikan diri dengan kos sara hidup di kawasan bandar malah memberi motivasi kepada mereka untuk terus kekal dan berkembang dalam kerjaya mereka.

“Langkah ini akan memastikan graduan memperoleh kelangsungan hidup lebih stabil dan dapat menyumbang secara efektif kepada produktiviti syarikat serta ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata, dengan adanya pelbagai peluang latihan dan kursus kemahiran, graduan kini dapat meningkatkan kebolehan mereka dengan cepat sekali gus mengurangkan jurang antara pengetahuan teori dan praktikal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya