PETALING JAYA: Kementerian Pertahanan menegaskan tiada kompromi berhubung kes buli membabitkan pelatih kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan siasatan dilakukan secara telus.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, insiden membabitkan pelatih itu masih di peringkat siasatan pihak polis dan Akademi Latihan Ketenteraan (ALK)-UPNM.
Katanya, segala keputusan membabitkan individu terlibat bergantung kepada rumusan siasatan yang bakal diketahui kelak.
“Benda tu dalam siasatan polis dan juga daripada akademi (ALK).
“Jadi kita belum dapat lagi laporan tetapi yang penting kita akan transparent (telus) dan tidak akan kompromi hal melibatkan disiplin,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Angkatan Tentera Malaysia 2024 di Wisma Pertahanan di sini hari ini.
Minggu lalu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan memaklumkan yang pihaknya sedang menyiasat kes seorang pegawai kadet di ALK, UPNM, Sungai Besi yang dipercayai menjadi mangsa buli dan dera oleh penuntut senior.
Menurut ATM yang mengesahkan kejadian itu, ia membabitkan pelajar kadet yang dibuli seniornya menggunakan seterika yang ditekap di bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur seperti yang tular menerusi media sosial.
Ketika ditanya sama ada pelatih digantung atau sebaliknya, Mohamed Khaled berkata, segala keputusan termasuk nasib ditentukan kepada individu terlibat bergantung kepada hasil siasatan.
“Itu kena tunggu apa dia (hasil siasatan) dan sebagainya, jadi apa-apa hukuman kemudian baru kita akan beritahu.
“Kena faham ini bukannya kes buli ketika orientasi atau sebagainya. Sebab ia babitkan pelajar tahun dua dengan tahun empat.
“Ini adalah insiden tersendiri bukannya libatkan banyak pihak. Mungkin sebenarnya mereka bergaduh isu peribadi, itu kita tidak tahu,” katanya.