Tiada kemasukan PATI besar-besaran ke Malaysia

Tiada kemasukan PATI besar-besaran ke Malaysia

Datuk Mohd. Rosli Abdullah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) tidak mengesan cubaan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Myanmar secara besar-besaran menggunakan kapal nelayan di perairan negara.

Sebaliknya, berdasarkan risikan Agensi Penguatkuasaan Ma­ritim Malaysia, kemasukan PATI hanya secara kecil-kecilan de­ngan menyelinap bersama warga Indonesia menaiki bot pom-pom dan bot nelayan dari Sumatera ke Pantai Barat Semenanjung.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Mohd. Rosli Abdullah memberitahu Utusan Malaysia, setakat ini, tiada maklumat risikan berkaitan kemasukan PATI dari negara berkenaan secara besar-besaran menggunakan kapal nelayan.

Beliau berkata, tidak dinafikan terdapat cubaan masuk secara kecil-kecilan menggunakan jalan darat dari kem pelarian ke selatan Thailand dan cuba memasuki Malaysia melalui Pulau Langkawi, Kedah khususnya dari tahun 2010 hingga 2022.

“Namun,kita (Maritim Malaysia) sentiasa bersiap siaga dalam memastikan PATI tidak bolos masuk ke negara ini. Oleh yang demikian, pelbagai tindakan dilakukan dalam meningkatkan pengawasan di laut.

“Rondaan di laut dan udara secara berterusan dilaksanakan di kawasan perairan negara terutama di laluan dan kawasan hotspot yang sering digunakan untuk masuk ke negara ini,” katanya di sini semalam.

Mohd Rosli berkata, Maritim Malaysia turut melakukan penyelarasan dengan pihak berkuasa lain dengan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam operasi penguatkuasaan serta perkongsian maklumat perisikan secara bersama.

Beliau berkata, kerjasama ini penting dalam menangani masalah kemasukan pendatang haram ini di samping memberikan tindak balas segera apabila berlakunya kecemasan.

“Maritim Malaysia turut melaksanakan operasi khas secara berkala bagi membanteras penyeludupan manusia dan kemasukan PATI melalui laut.

“Penggunaan teknologi moden seperti sistem C4ISR (Command, Control, Communicatian, Computer, Intelligence, Surveillance and Reconnaissance), penggunaa radar SWASLA dan dron turut diperluaskan untuk meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan dalam perairan negara terutamanya di kawasan laut yang sukar diakses,”jelasnya.

Kata beliau, Maritim Malaysia juga menjalankan pemantauan dan risikan berterusan mengenai trend kemasukan PATI dari Myanmar melalui laut.

Selain itu, jelas beliau, penilaian turut dilakukan di laluan panas penyeludupan yang dikenal pasti sering digunakan PATI.

Beliau menambah, kerjasama dengan negara jiran melalui hubungan bilateral sedia ada turut diperkukuhkan untuk menangani masalah pelarian dan penyeludupan manusia di perairan serantau.

“Terdapat beberapa operasi bersama yang dilaksanakan di peringkat antarabangsa antaranya Op Redback iaitu operasi penguatkuasaan yang melibatkan kerjasama antara Malaysia dan Australia.

“Operasi ini bertujuan untuk menangani jenayah rentas sempadan yang melibatkan penyeludupan manusia, perdagangan dadah dan kegiatan haram lain di perairan antarabangsa.

“Kita (Maritim Malaysia) turut melaksanakan Op Patkor Optima Malindo iaitu operasi penguatkuasaan yang melibatkan kerjasama antara Malaysia dan Indonesia yang memberi fokus kepada pengawasan bersama di kawasan maritim yang sering menjadi laluan penyeludupan dan jenayah rentas sempadan termasuk perdagangan manusia, penyeludupan dadah dan lain-lain kegiatan jenayah,” kata beliau.

Mohd Rosli berkata, melalui kolaborasi dengan organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), pihaknya juga telah memperoleh sokongan dalam bentuk sumber, pengetahuan teknikal dan membina rangkaian global.

Beliau menambah, ia dalam usaha menangani masalah kemasukan PATI, jenayah maritim dan meningkatkan keselamatan perairan Malaysia.

“Kita (Maritim Malaysia) turut aktif dalam menyebarkan maklumat mengenai larangan kemasukan pendatang haram dan kesan negatif penyeludupan manusia kepada masyarakat.

“Ini dilakukan melalui kempen kesedaran dan kerjasama dengan media untuk memastikan orang ramai faham tentang ancaman yang dihadapi negara selain turut memfokuskan mengenai kesalahan jenayah yang disabitkan dan hukuman yang akan dikenakan kepada individu-individu yang terlibat, termasuklah sindiket, tonto-tonto dan transporter yang membantu jenayah ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya