PARLIMEN: Tiada cukai baharu minuman bergula - Utusan Malaysia

PARLIMEN: Tiada cukai baharu minuman bergula

Amir Hamzah Azizan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan mengenakan sebarang cukai baharu bagi minuman bergula dalam memastikan keperluan asas rakyat mencukupi.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan telah memberikan insentif khas kepada pengilang gula untuk memastikan keberadaan bekalan gula di pasaran kekal stabil.

Beliau berkata, pengeluar gula tidak mengalami kerugian dengan kenaikan harga gula mentah kerana ia diimport sepenuhnya dari luar negara dan menyumbang 80 peratus daripada kos keseluruhan pengoperasian pengeluar gula.

“Untuk makluman, tiada cukai baharu diperkenalkan bagi minuman bergula.

“Pengenaan duti eksais terhadp minuman bergula telah diperkenalkan melalui Belanjawan 2019 pada kadar 40 sen dan dinaikkan sebanyak 10 sen kepada 50 sen melalui Belanjawan 2024.

“Terkini, kenaikan 40 sen diumumkan melalui Belanjawan 2025 menjadikan keseluruhan duti eksais adalah sebanyak 90 sen seliter dan hanya dikenakan terhadap 3 kategori minuman bergula sedia diminum (ready to drink) yang dikilangkan dalam negara atau diimport dari luar negara.

“Minuman tersebut tertakluk kepada duti berkenaan sekiranya kandungan gula melebihi nilai ambang (threshold) yang telah ditetapkan,” katanya dalam jawapan bertulis bagi jawab lisan, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong yang bertanya apakah kerajaan berhasrat untuk menghentikan pemberian insentif kepada para pengeluar gula sekiranya cukai baharu terhadap minuman bergula diperkenalkan dan sejauh manakah pengurangan penggunaan minuman bergula di seluruh negara selepas pelaksanaan kenaikan cukai gula kepada 50 sen seliter dalam Belanjawan 2024.

Tambah Amir Hamzah, langkah ini akan mendorong pengeluar minuman bergula melakukan formulasi semula produk minuman bergula supaya kandungan gula tidak melebihi nilai ambang yang ditetapkan.

Justeru katanya, pengguna akan mempunyai lebih banyak pilihan produk minuman yang lebih sihat.

“Seterusnya membantu mengurangkan prevalen obesiti dan penyakit tidak berjangkit berpunca daripada pemakanan yang tidak seimbang dan tidak berkhasiat.

“Kerajaan akan terus mengkaji kaedah terbaik untuk mengurangkan penggunaan gula dalam makanan harian termasuk mengkaji semula pemberian insentif khas kepada
pengeluar gula tempatan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN