IPOH: Selepas Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie dilanggar dan digilis oleh sebuah kereta Perodua Ativa, pemandu kereta berkenaan mengangkat pelajar itu dalam keadaan marah sebelum meletakkannya di bahu jalan.
Bagaimanapun, saksi pendakwaan ke-11, seorang remaja yang berada di lokasi kejadian tidak dapat mendengar apa yang diperkatakan oleh pemandu kereta berkenaan.
Saksi itu juga tidak dapat mengecam pemandu terbabit dan hanya mengesahkan pemandu kenderaan tersebut adalah seorang lelaki.
“Saya melihat kereta Ativa melanggar bahagian lampu belakang motosikal Zaharif dengan bumper bahagian tengah kereta.
“Zaharif jatuh dan motosikalnya terseret ke arah hadapan kereta Ativa seterusnya kereta tersebut menggilis mangsa. Sebelum pelanggaran berlaku, tiada sebarang bunyi hon daripada kereta Ativa atau tanda-tanda kereta itu menekan brek.
“Saya melihat pemandu kereta Ativa turun dari kenderaan dan mengangkat Zaharif ke tepi bahu jalan. Saya melihat pemandu itu seperti dalam keadaan marah melalui tindak-tanduk dan pergerakan tangan,” katanya.
Perkara itu dinyatakan remaja terbabit ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz.
Terdahulu saksi berkenaan memberitahu, beliau berada di lokasi kejadian iaitu di bahu jalan berdekatan simpang tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati.
“Sepanjang kejadian, saya kekal berada di bahu jalan berdekatan simpang tiga SMK Jati dan hanya bergerak ke bahu jalan tempat Zaharif diangkat setelah pemandu kereta Ativa itu beredar dari tempat kejadian,” katanya.
Selain itu, remaja itu memberitahu dia hanya mengetahui pemandu Perodua Ativa itu seorang pegawai polis selepas diberitahu rakannya, keesokan harinya.
Pada prosiding semalam, pihak pendakwaan turut disertai Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani, V. Suloshani dan Low Qin Hui manakala pihak pembelaan dibarisi peguam-peguam bela, M. Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.
Mengikut pertuduhan, Deputi Superintenden Mohd. Nazri Abdul Razak, 45, yang sebelum ini bertugas di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi, 17 pada Disember 2023. – UTUSAN