PETALING JAYA: Thailand berjaya merangkul kejuaraan berpasukan dalam edisi ke-28 World Amateur Golfers Championship (WAGC) World Final 2024 yang berlangsung di Phuket.
Berdepan saingan daripada 37 negara, pasukan tuan rumah itu mencatatkan kemenangan kedua mereka dengan jumlah pukulan 1,108 dalam empat pusingan, bermain di The Red Mountain Golf Club, Laguna Golf Club, dan Blue Canyon (Lakes dan Canyon).
Pasukan Thailand terdiri daripada Jantawat Hatsakit (handicap 7), Nachaya Udomdee (12), Saichon Phetnin (14), dan Vivat Chotanaound (12).
Selain itu, Korea Selatan dan China masing-masing mengungguli kedudukan tempat kedua dan ketiga.
Malaysia, yang merupakan juara bertahan lima kali berturut-turut (2018-2023), gagal mempertahankan gelaran namun Mohammad Feyyaz Ashaari meraih tempat ketiga dalam kategori individu divisyen tiga.
Dalam kategori World Amateur Golfers Invitational (WAGI), pasukan China 1 muncul juara dengan skor nett 555, mengatasi Sepanyol dan Filipina. Acara Champions of Champions yang diperkenalkan oleh Singha Corporation dimenangi oleh Indonesia dengan skor nett 356.
Pasangan Filipina, Romeo Lopez dan Rusty Ramirez, pula menjuarai kategori pasangan WAGI dengan skor nett 145.
Majlis penutup kejohanan yang dianjurkan oleh Delta World Malaysia dengan kerjasama Fore Management turut menyaksikan Gabenor Phuket, Sophon Suwannarat, menyampaikan anugerah. – UTUSAN