MELAKA: Terminal Kapal Pesiar Antarabangsa Melaka yang dalam pembinaan di Pulau Melaka, Banda Hilir dijangka siap sepenuhnya pertengahan tahun depan kata Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Menurutnya, berdasarkan terma dalam kontrak sepatutnya terminal tersebut siap hujung tahun ini namun mengalami kelewatan disebabkan masalah teknikal.
Beliau berkata, setakat ini pembinaan terminal tersebut mencapai tahap antara 40 hingga 50 peratus.
“Apabila siap terminal ini bakal menerima pertambahan pelancong yang masuk menerusi persinggahan kapal pesiar yang melalui Selat Melaka,” ujarnya dalam sidang akhbar selepas merasmikan 1st Melaka International Maritime Economy Conference (MIMEC 2024) yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook di sini semalam.
Ab. Rauf berkata, Melaka akan menerima kunjungan pertama 5,000 pelancong yang menaiki kapal persiaran mewah Genting Dreams Cruise dari Singapura yang singgah di perairan ini pada 11 November ini.
Sementara itu Anthony berkata, pembinaan terminal kapal pesiar di Pulau Melaka, bakal memberi limpahan besar kepada aktiviti pelancongan Melaka.
“Melaka mempunyai potensi besar menjadi destinasi kapal pesiar kerana terkenal sebagai negeri penuh dengan sejarah dan kedudukannya yang strategik,” ujarnya.