Terjahan bersepadu di Teluk Gong dalam masa terdekat

Terjahan bersepadu di Teluk Gong dalam masa terdekat

Teluk Gong
NG Suee Lim berucap pada Program Pematuhan Syarat dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran Selangor 2025 - 2027, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan negeri akan mengadakan terjahan secara bersepadu terhadap kawasan yang dilapor menempatkan kilang-kilang haram memproses sisa elektronik, plastik dan tayar terpakai sehingga menyebabkan pencemaran teruk alam sekitar di Teluk Gong, Pelabuhan Klang.

Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ng Suee Lim berkata, pihaknya mengenal pasti kilang-kilang haram tidak berlesen di kawasan berkenaan termasuk di sekitar Kuala Langat.

Menurutnya, beliau akan bekerjasama dengan Exco Kesihatan dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaludin dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk melakukan terjahan tersebut.

“Lepas sidang bajet (Belanjawan Selangor) mungkin bulan Januari, kita tengok macam mana. Ada maklumat lengkap kita turun. Kadang-kadang maklumat bocor, kita pergi nanti tak ada orang dan sebagainya, tetapi kita akan cuba juga.

“Saya minta penguatkuasa di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) tolong pantau dan turun mana-mana kawasan. Terjah saman, sita dan dakwa mereka di mahkamah,” katanya ketika ditemui pada Program Pematuhan Syarat dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran (KTK) Selangor 2025 – 2027, hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kawasan Teluk Gong tercemar teruk seolah-olah menjadi pusat pelupusan dan pemprosesan sisa industri, plastik dan tayar terpakai berskala ‘mega’.

Keadaan itu berlaku susulan kewujudan puluhan kilang disyaki beroperasi secara haram menjalankan kerja-kerja pemprosesan sisa buangan yang tidak melalui prosedur betul dan dibenarkan.

Malah, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang memberitahu pihaknya mengesan pemilik atau pengoperasi kilang meanggar syarat dan akta ditetapkan di sekitar kawasan berkeluasan lebih 2,000 hektar itu meliputi tanah pertanian dan industri sama ada milik individu atau kerajaan.

Sementara itu, Suee Lim memaklumkan ketika ini beliau menasihatkan pemilik atau pengoperasi kilang-kilang haram suapa menghentikan operasi mereka terutama di kawasan seperti Teluk Gong yang mengakibatkan pencemaran membahayakan keselamatan dan kesihatan penduduk setempat.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan mendedahkan terdapat 6,690 kilang dalam kategori KTK masih beroperasi di atas 5,325 lot tanah milik individu dan kerajaan.

Justeru, kerajaan negeri akan melaksanakan program pematuhan dan pemutihan KTK selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 21 Ogos lalu meluluskan Pelanjutan Tempoh Pematuhan Syarat dan Penguatkuasan KTK berkuatkuasa mulai 1 September lalu hingga 31 Disember 2027.

“Kita jangkakan kalau kita boleh putihkan lebih daripada 50 peratus, kita dapat hasil lebih RM150 juta, kita beri tawaran insentif kita masih boleh kutip RM150 juta untuk keseluruhan termasuk bayaran premium dan sebagainya.

“Sekarang kita tak dapat kutip kerana penguatkuasaan dan sebagainya tidak dilakukan. Sekarang konsep kita stick and carrot, maknanya kita buat pemutihan dalam masa sama melaksanakan penguatkuasaan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya