ALOR GAJAH: Projek pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Jernih di Masjid Tanah di sini yang bernilai RM234 juta mengalami kelewatan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek itu dianggap kritikal kerana berlaku kelewatan selama 41 hari yang mana kemajuan projek hanya mencapai 60.52 peratus berbanding 61.32 peratus disasarkan.
Jelasnya, bagaimanapun kontraktor memberi jaminan dengan menandatangani surat aku janji pada 12 Ogos lalu dengan komitmen untuk menyiapkannya sebelum 31 Mei 2025.
“Saya tidak puas hati dengan kemajuan projek ini dan kerana itu saya sendiri turun ke lapangan untuk meninjau perkembangannya.
“Kita sudah panggil pihak kontraktor untuk bentangkan pelan pemulihan dan bagaimana mereka hendak siapkan projek ini. Kalau ikut kata kontraktor projek ini akan disiapkan Mei tahun depan.
“Kita telah minta jaminan dan mereka telah tandatangani surat aku janji komitmen. Mereka mesti siapkan projek ini seperti yang dijanjikan,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan projek pembinaan TAPS Jernih, semalam.
Projek yang bermula pada 7 Jun 2022 itu sepatutnya siap 6 Disember ini, namun mengalami kelewatan berpunca daripada pembinaan lencongan pembentung, hujan lebat dan banjir yang berlaku sebelum ini.
Tambah Fadillah, TAPS Jernih mempunyai kapasiti menyimpan 14,000 juta liter air mentah dan mampu menampung pertambahan penduduk sehingga 2030.
Jelasnya, ia juga menyumbang bekalan air untuk memenuhi keperluan pengguna khususnya di daerah ini bagi mengatasi masalah kekurangan sumber terutama ketika musim kemarau.
“Lebih penting Melaka dapat mengurangkan kebergantungan sumber air mentah dari Johor dan jika berlaku kemarau takungan ini mampu bertahan selama 90 hari,” katanya. – UTUSAN