KUALA LANGAT: Pelatih-pelatih dalam bidang pembinaan khususnya pengendalian kren tidak lagi perlu bergantung kepada latihan simulasi, sebaliknya boleh menggunakan fasiliti sebenar jentera itu menerusi Tapak Latihan Kren Menara Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Tengah.
Tapak latihan tersebut merupakan usaha sama antara Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dengan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) bagi memberikan elemen praktikal untuk memenuhi cabaran pekerjaan sebenar dalam industri pembinaan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bekata, kewujudan tapak tersebut bertepatan dengan keperluan dalam Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara yang diterajui CIDB bagi industri pembinaan.
Menurutnya, fasiliti itu bertujuan menghasilkan kumpulan Orang Yang Kompeten (Competent Person) Operator Kren Menara.
“MRCB menunjukkan komitmen luar biasa dengan menyediakan tapak latihan, kemudahan peralatan dan sokongan kurikulum. Selain itu, fasiliti khusus untuk latihan kren menara yang disediakan dengan kos RM1 juta membolehkan latihan praktikal pengendalian dan pengurusan kren secara profesional.
“Saya menyeru kepada semua pihak dalam sektor pembinaan untuk tampil dalam kerajasama sinergistik bersama CIDB dalam usaha memperkasa TVET pembinaan dan meningkatkan kemahiran profesionalisme serta menekankan kepentingan pensijilan kompetensi,” katanya ketika dalam ucapan perasmian Tapak Latihan Kren Menara Jenjarom, hari ini.
Dalam pada itu, Alexander ketika ditemui memberitahu program latihan melalui tapak latihan tersebut penting dalam memberi ruang dan peluang kepada mereka yang berminat untuk menceburi bidang pembinaan.
“Jadi, kita perkenalkan program itu supaya mereka mahir sebab dalam industri pembinaan kita memerlukan tenaga mahir. Yang itu kita nampak, mereka yang masuk latihan adalah untuk menjadi mahir dalam mengoperasikan menara kren.
“Saya kagum kerana kali ini juga diberi peluang kepada banduan yang diberi parol (Peluang Kedua (Peka) bagi banduan) atau pelepasan sementara untuk mereka juga mendapat peluang untuk berlatih dan dibayar elaun dengan kadar gaji minimum dan menerima caruman pekerja,” ujarnya.
Katanya lagi, MRCB juga bersedia menerima pelatih-pelatih yang menjalani latihan melalui kerjasama CIDB-MRCB untuk bekerja di syarikat tersebut. – UTUSAN