GEORGE TOWN : Persatuan Pembayar Cukai Pulau Pinang (Ratepayers Penang) menggesa kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menangguhkan rancangan menaikkan cukai tanah, kadar penilaian dan kadar parkir baharu mulai tahun depan.
Presidennya, Lee Kim Noor berkata, kenaikan kadar dikenakan tidak sesuai dilaksanakan ketika rakyat dibelenggu kadar inflasi tinggi, tarif air yang mahal serta kemungkinan berlaku pemotongan subsidi petrol selepas ini.
“Sebagai pembayar cukai, kami menyeru kerajaan negeri tidak membebankan rakyat dengan kenaikan kadar ini, sebaliknya, sebarang kenaikan harus dilaksanakan beransur-ansur dan dalam kadar minimum, bukan secara mendadak,” katanya dalam sidang akhbar di pekarangan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, hari ini.
Terdahulu, Kim Noor menyerahkan memorandum bantahan kenaikan cukai tanah, kadar penilaian dan kadar parkir kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pembangkang Pulau Pinang.
Sebelum ini, kerajaan negeri dan dua PBT di sini iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), mengumumkan rancangan menaikkan cukai tanah, kadar penilaian dan kadar parkir mulai tahun depan.
Di bawah kadar baharu yang disemak semula itu, bayaran parkir akan meningkat daripada RM0.40 sen kepada RM0.60 sen untuk 30 minit, RM0.80 kepada RM1.20 untuk sejam dan RM6 kepada RM9 untuk sehari penuh.
Menurut Kim Noor, sesi dialog awam dan perbincangan antara kerajaan dan pembayar cukai perlu diadakan sebelum melaksanakan sebarang kenaikan kadar cukai atau kadar penilaian.
“Kali terakhir kadar parkir disemak dan dinaikkan adalah pada 2020, jadi tidak wajar kadarnya dinaikkan ketika rakyat berdepan dengan pelbagai kenaikan kos, malah kadar parkir di Pulau Pinang (bahagian pulau) adalah antara yang tertinggi pada masa ini dan tangguh dahulu rancangan kenaikan ini,” katanya. – UTUSAN