IPOH: Pekebun sayur dan bunga di Cameron Highlands mendakwa kerugian besar apabila hasil tanaman mereka tidak dapat dibawa keluar sepenuhnya dari kawasan tanah tinggi itu berikutan kejadian tanah runtuh di KM43.4 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.
Wakil pekebun Cameron Highlands, K. Kalaichelvan berkata, tanah runtuh yang berlaku pada 23 Oktober lalu menyebabkan lori dan treler membawa sayur tidak dibenarkan melalui jalan tersebut kerana kerja-kerja pembersihan runtuhan tanah dan pembaikan.
Menurutnya, kebenaran untuk mereka melalui jalan itu hanya pada waktu malam tidak mencukupi untuk membolehkan kira-kira 180 treler sayur membuat penghantaran ke bandar seperti Alor Setar, Pulau Pinang dan Sungai Petani.
Katanya, ini menyebabkan banyak pekebun membuang sahaja hasil tanaman mereka.
“Setiap hari kira-kira 180 buah treler membawa turun sayur dan bunga dari Cameron Highlands menggunakan jalan ini. Sejak tanah runtuh pada 23 Oktober lalu, jalan ini ditutup dan kami tidak dapat membawa turun sayur dan bunga pada waktu siang.
“Tempoh dibenarkan melalui jalan ini hanya pada waktu malam tidak mencukupi untuk semua 180 treler membawa turun hasil tanaman.
“Ini menyebabkan banyak sayur dan bunga yang rosak, pekebun tiada pilihan selain membuangnya begitu saya dan mereka menanggung kerugian yang besar,” katanya ketika ditemui di lokasi runtuhan tanah semalam.
Menurutnya, tidak semua treler dapat melalui jalan alternatif iaitu melalui Tapah kerana laluan tersebut sempit dan berbahaya.
“Selain itu, Jalan Cameron Highlands-Tapah mengambil masa yang lama berbanding Jalan Cameron Highland-Simpang Pulai,” katanya.
Menurutnya, setiap hari, berpuluh-puluh buah lori dari Cameron Highland berkumpul berdekatan lokasi runtuhan menghala Simpang Pulau, sementara menunggu laluan tersebut dibuka pada pukul 7 malam.
“Tempoh masa laluan dibuka pada pukul 7 malam hingga 7 pagi tidak cukup untuk 180 treler melalui jalan ini kerana ada juga treler yang melakukan perjalanan pada siang hari terutama pada waktu tengah hari hingga petang,” katanya.
Menurutnya, pihaknya ada mencadangkan supaya satu laluan dibuka untuk membolehkan treler melalui jalan tersebut.
“Kami cadangkan satu lalu dibuka manakala satu lalu lagi untuk kerja-kerja pembaikan runtuhan. Sekurang-kurangnya dengan cara ini treler dapat melalui jalan ini,” katanya.
Kalaichelvan berkata, pembukaan semula laluan itu juga demi kepentingan rawatan hospital terutama jika berlaku kecemasan.