Tambahan waktu kerja jururawat beri risiko kepada pesakit - Utusan Malaysia

Tambahan waktu kerja jururawat beri risiko kepada pesakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menambah waktu kerja jururawat daripada 42 jam kepada 45 jam seminggu mulai 1 Disember ini, berisiko menjejaskan keselamatan dan kesihatan pesakit.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata, pihaknya melahirkan kebimbangan terhadap keputusan KKM tersebut kerana ia dibuat tanpa perbincangan mencukupi dengan pihak berkepentingan seperti Kesatuan Jururawat Malaysia (MNU).

Katanya, pihaknya juga memandang perkara ini kerana ketiadaan dialog menyeluruh dengan badan profesional lain.

“Langkah sebegini melemahkan pendekatan kolaboratif yang diperlukan untuk merangka dasar yang adil dan sesuai dengan realiti lapangan. Penambahan waktu kerja tanpa menangani cabaran sedia ada berpotensi meningkatkan tekanan kerja, keletihan, dan mengurangkan kepuasan kerja jururawat.

“Kebajikan mental jururawat yang terganggu akibat beban kerja yang melampau juga boleh memberi kesan negatif kepada kualiti perawatan yang diberikan kepada pesakit.

“Jika jururawat mengalami tekanan mental atau keletihan, ia boleh meningkatkan risiko kesilapan dalam penjagaan pesakit, sekaligus menjejaskan keselamatan dan kesihatan mereka,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan.

Mohd. Effendy berkata, pihaknya juga menegaskan bahawa waktu kerja yang lebih panjang mungkin mendorong jururawat untuk mencari peluang pekerjaan dengan syarat kerja yang lebih baik di tempat lain.

Katanya, keadaan itu kan memburukkan lagi isu kekurangan kakitangan dalam sektor kesihatan, justeru pihaknya menyeru kerajaan untuk segera mengadakan perbincangan dengan MNU dan pihak berkepentingan lain bagi menilai semula keputusan ini.

“Penglibatan ini penting untuk merangka penyelesaian yang mengimbangi keperluan operasi dengan kebajikan pekerja kesihatan. MTUC juga mencadangkan agar kerajaan melaksanakan kajian komprehensif terhadap keadaan kerja jururawat, termasuk beban kerja, ganjaran, dan system sokongan, bagi memastikan tenaga kerja yang mampan, bermotivasi, dan mempunyai kesejahteraan mental yang baik.

“MTUC menekankan kepentingan melibatkan kesatuan dan badan profesional dalam perumusan dasar untuk memastikan strategi kesihatan yang inklusif dan berkesan.,” katanya.

Tambahnya lagi, MTUC berdiri teguh bersama MNU dan komuniti jururawat, mendesak agar kebajikan mereka diberi keutamaan dalam setiap keputusan yang diambil.

“Jururawat adalah tulang belakang kepada sistem penjagaan kesihatan negara, dan kebajikan mereka tidak boleh dikompromi demi memastikan kualiti perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya