PETALING JAYA: Pakar menyifatkan cadangan agar kerajaan menempatkan pelarian di sebuah pulau sebagai tidak masuk akal dan tidak akan menyelesaikan isu berkenaan.
Sebaliknya, Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Salawati Mat Basir berkata, pembangunan mekanisme yang jelas dalam menentukan jumlah pelarian yang boleh diterima, dihantar pulang atau dipindahkan harus menjadi fokus kerajaan dalam pengurusan pelarian.
Beliau berkata, pendekatan yang lebih sistematik perlu dirangka bagi mengatasi isu pelarian yang sudah dibiar berlarutan berdekad lamanya.
Tambahnya, Malaysia juga tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 atau Protokol 1967, sekali gus tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang jelas bagi mengawal status dan hak pelarian di Malaysia.
“Tidak ada asas untuk meletakkan pelarian di pulau tertentu. Ini bukan zaman pelarian Vietnam dahulu di mana mereka (pelarian) ditempatkan dan dikawal di lokasi tertentu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ahli Parlimen pembangkang, Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) sebelum ini mencadangkan agar kerajaan menempatkan pelarian di sebuah pulau bagi menyelesaikan isu pelarian.
Dalam pada itu, Pakar Geostrategi, Prof. Dr. Azmi Hassan juga menegur ahli politik agar tidak melantunkan sebarang idea secara semberono tanpa melakukan kajian secara menyeluruh.
Tambahnya, perbuatan meletakkan imigran atau suaka politik di tempat tertentu sering mendapat reaksi negatif dari negara lain.
Menurutnya, tindakan tersebut juga berupaya meletakkan Malaysia sebagai negara yang tidak mematuhi hak-hak pelarian.
“Sebagai contoh, negara seperti United Kingdom (UK) terpaksa membatalkan rancangan menghantar imigran ke Rwanda, sementara Australia telah menutup pusat imigran di Nauru dan Papua New Guinea.
“Di Malaysia, pengalaman lalu seperti di Pulau Bidong dan Sungai Besi menunjukkan bahawa penempatan sedemikian membawa lebih banyak masalah daripada penyelesaian.
“Penutupan Pulau Bidong dan pembukaan pusat di Sungai Besi memberikan pengajaran penting bahawa cadangan ini tidak efektif, malah boleh mencetuskan isu yang lebih besar,” katanya. – UTUSAN